Penahanan migran jadi penghalang besar usaha lawan Covid-19, kata LFL

Penahanan migran jadi penghalang besar usaha lawan Covid-19, kata LFL

Lawyers for Liberty berkata, ia akan menjadi malapetaka jika berjuta migran terlalu takut untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Lawyers for Liberty berkata, tangkapan pendatang tanpa izin di Masjid India dan Menara City One semalam menimbulkan kebimbangan serius.
PETALING JAYA:
Kumpulan hak asasi, Lawyers for Liberty (LFL) berkata penahanan pendatang tanpa izin di Kuala Lumpur semalam ialah halangan besar dalam usaha melawan pandemik Covid-19.

Katanya, tangkapan yang dilakukan Jabatan Imigresen dan agensi penguatkuasaan lain di Masjid India dan Menara City One semalam menimbulkan kebimbangan serius.

“Penahanan itu memberi mesej menakutkan kepada jutaan pendatang tanpa izin yang mereka akan ditahan jika tampil mendapatkan rawatan bagi gejala Covid-19 atau jika mereka tampil menjalani ujian saringan,” kata penasihat LFL, N Surendran dalam kenyataan hari ini.

“Seperti negara lain di seluruh dunia, keutamaan kita semestinya menghapuskan Covid-19 daripada komuniti kita.

“Bagaimana ini dapat dicapai jika berjuta pendatang tanpa izin di Malaysia terlalu takut untuk bekerjasama menangani penyakit ini? Difahamkan mungkin ada sehingga 4 juta pendatang tanpa izin di negara kita.”

Surendran berkata, Singapura ialah contoh bagaimana virus itu boleh merebak dalam komuniti migran.

Melihat dari segi prisma usaha menentang Covid-19, katanya, tiada logik terhadap penahanan itu.

Beliau berkata, sekarang terdapat risiko sebenar kluster baru Covid-19 dalam pusat tahanan imigresen atau lokap polis.

“Pusat tahanan sesak akan menjadi tempat pembiakan sempurna untuk virus itu. Adakah mereka (yang ditahan) disaring sebelum mereka dibawa ke pusat tahanan?

“Adakah penjarakan sosial dan langkah lain diambil ketika operasi semalam? Rakaman sejumlah besar migran terpaksa beratur dan mencangkung bersama mencadangkan sebaliknya.”

Surendran berkata, penahanan itu bukan saja tidak kena pada masanya, tetapi juga sia-sia dalam mencapai matlamat mengawal populasi migran.

“Peningkatan jumlah pendatang tanpa izin di Malaysia berpunca daripada kegagalan jangka panjang dalam pengurusan pekerja migran, termasuk dalam dasar pengambilan.

“Migran itu ialah mangsa malang dasar lemah dan agensi pekerjaan tidak berhati perut atau kejam dan pihak berkepentingan lain.

“Ini sudah ditekankan berkali-kali, tetapi ia tidak diendahkan kerajaan. Sama ada BN, PH atau PN, semuanya kelihatan tidak berminat menangani masalah itu secara berperikemanusiaan.”

Beliau menggesa kerajaan melaksanakan moratorium ke atas semua serbuan dan penahanan pendatang tanpa izin “ketika usaha menentang Covid-19”.

Katanya, kajian semula secara menyeluruh dan komprehensif perlu dilakukan ke atas pengurusan dan pengambilan pekerja asing.

Semalam, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, pihak berkuasa menjalankan operasi besapr-besaran memburu pendatang tanpa izin ketika penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19.

Katanya, pendatang tanpa izin sukar dikesan jika dijangkiti Covid-19 kerana tidak mempunyai sebarang dokumen sah dan mampu menyebabkan penularan virus itu apabila mereka bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.

“Selagi PKP masih dilaksanakan, polis tidak akan membiarkan mana-mana pihak yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah bergerak bebas.

“Jadi, itulah tujuan utama Jabatan Imigresen melakukan operasi besar-besaran secara bersepadu bersama polis, Angkatan Tentera Malaysia dan dibantu Kementerian Kesihatan di beberapa lokasi di ibu negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.