Nasib pendatang tanpa izin terlantar sakit tanpa dokumen ketika PKP

Nasib pendatang tanpa izin terlantar sakit tanpa dokumen ketika PKP

Itu antara situasi terdesak dihadapi kumpulan sukarelawan Nahdlatul Ulama ketika membantu rakan senegara dari Indonesia yang tinggal di Malaysia sepanjang PKP.

Sukarelawan Nahdlatul Ulama menyampaikan bantuan kepada sekumpulan warga Indonesia di sebuah ladang. Terdapat kira-kira 2.5 juta warga Indonesia di Malaysia yang kebanyakannya hidup dalam keadaan terdesak semasa PKP. (Gambar NU Malaysia)
PETALING JAYA:
Pendatang asing dengan permit kerja tamat tempoh dan jatuh sakit ketika penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) berdepan kesukaran mendapatkan rawatan kerana tiada wang.

Itulah keadaan wanita Indonesia, Sumiyati yang terlantar di tilam nipisnya dalam sebuah bilik usang di rumah kongsi kecil di Puchong, Selangor.

Mahfud Budiono bukannya doktor, tetapi beliau berpendapat Sumiyati mempunyai masalah hati kerana kulit dan mata putihnya bertukar kuning.

Sumiyati dan suaminya tinggal di rumah kongsi itu bersama pekerja binaan lain yang hilang pekerjaan baru-baru ini.

Suaminya keluar untuk membeli ubat Sumiyati, namun beliau belum pulang walaupun sudah lama keluar.

Suaminya tidak memiliki sebarang dokumen dan cakap-cakap di sekeliling mengatakan suaminya ditahan polis.

Mahfud Budiono berkata, kumpulannya membantu hampir 10,000 warga Indonesia yang tinggal di Malaysia untuk terus bertahan ketika PKP.

Situasi seperti itu sering dihadapi Mahfud yang mengetuai kumpulan sukarelawan Nahdlatul Ulama (NU) cawangan Malaysia – pertubuhan Islam terbesar di Indonesia dan organisasi Islam bebas terbesar di dunia.

NU juga adalah badan amal yang membiayai sekolah dan hospital serta melibatkan masyarakat dalam usaha mengurangkan kemiskinan.

Ia memiliki 60 hingga 90 juta ahli di seluruh dunia dan sejak ditubuhkan pada 1926, ia mempunyai pengaruh besar ke atas politik dan kerajaan Indonesia.

Tahun lalu, Ma’ruf Amin, ulama kanan NU dipilih sebagai naib presiden Indonesia.

Cawangan Mahfud kini menjaga pendatang asing yang miskin, kelaparan dan kadang-kadang sakit di Malaysia.

Hari ini, Mahfud berdepan situasi mencemaskan.

Beliau datang dengan membawa minyak masak, sepapan telur dan 10 bungkus mi segera untuk pasangan itu.

Mahfud Budiono (tengah) mendengar masalah dihadapi seorang wanita terlantar sakit di sebuah rumah kongsi di Puchong. (Gambar NU Malaysia)

Beliau bersama kumpulannya menemui Sumiyati terlantar dan tidak dapat bergerak di tilamnya.

“Keadaannya kritikal. Saya rasa mahu menangis,” katanya.

Jiran Sumiyati yang lebih berusia – juga dari Indonesia – menjaganya.

Itu situasi yang sering dihadapi Mahfud dan sukarelawannya ketika bekerja tanpa lelah mengedarkan makanan kepada rakan senegara yang bergelut untuk meneruskan hidup tanpa pekerjaan di Malaysia ketika PKP.

Tugasan itu membuatkan mereka sangat sibuk. Pun begitu, NU menerima 20,000 permohonan untuk mendapatkan bantuan. Setakat ini, mereka berjaya membantu hampir separuh daripadanya.

PKP memberikan pelbagai cabaran kepada semua orang, terutamanya selepas kerajaan mula mengehadkan pergerakan kepada maksimum 10km.

Kadangkala pasukan NU terpaksa berpatah balik ketika dalam perjalanan menghantar makanan kerana kawasan yang mereka akan kunjungi ialah zon merah.

“Ada masanya, pihak berkuasa tidak mempercayai kami,” kata Mahfud.

“Kami tidak sangka PKP akan dilanjutkan. Kami sangka kami dapat uruskan dengan dana sedia ada. Tetapi, peruntukan kami habis pada minggu pertama.”

Senarai menunggu masih panjang dan ketika ini penerima pertama memerlukan bantuan lanjut.

“Ini kritikal kerana mereka tidak mempunyai wang dan tidak boleh keluar. Kebanyakannya tidak mempunyai akaun bank, jadi NU tidak dapat memindahkan wang kepada mereka.”

Terdapat 2.5 juta warga Indonesia di Malaysia ketika ini dan beliau menjangkakan sejuta daripadanya dalam keadaan terdesak.

“Saya berharap saya kaya atau memiliki kuasa untuk menghubungi perdana menteri meminta bantuan.”

Katanya, pengagihan bantuan meletihkan dan penuh tekanan, jadi beliau dan rakan sekerjanya perlu berfikiran positif.

“Jika kami sendiri tertekan, bagaimana kami dapat membantu orang lain?”

Kembali ke rumah kongsi itu, Sumiyati masih terbaring menunggu suaminya, tetapi nampaknya tidak mungkin suaminya akan pulang segera kerana difahamkan beliau ditahan dalam lokap Sepang. Suaminya sihat, tetapi Sumiyati yang sakit amat risau nasib suaminya.

Masih tiada orang yang tahu penyakit dihidapi Sumiyati dan beliau tiada ubat.

Ada pihak menghantar tukang urut dalam cubaan untuk membantunya. Selepas diurut, perut Sumiyati kurang kembung berbanding sebelumnya.

Beliau terlantar sakit, tanpa ubat dan suami di dalam lokap. Namun, sekurang-kurangnya hari ini penjaganya mempunyai makanan untuk dimasak dan diberikan kepadanya.

Situasi seperti ini perkara biasa bagi sukarelawan NU yang bekerja pada masa luar biasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.