
Beliau berkata, permohonan dibuka semalam sehingga 1 Mei melalui aplikasi Gerak Malaysia dan selepas itu kerajaan akan mengumpulkan maklumat daripada polis di seluruh negara.
“Selepas mendapat semua maklumat, barulah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan akan mengeluarkan SOP mengenai kebenaran pulang sama ada melalui lebuh raya, jalan raya dan sebagainya.
“Masih perlu berbincang dengan MKN dan KKM. Selepas kemukakan SOP, mereka perlu bawa cadangan ini ke mesyuarat khas menteri-menteri untuk diluluskan,” katanya pada sidang media hariannya hari ini..
Ismail berkata, selepas kerajaan meluluskan SOP itu, barulah tarikh pergerakan sama ada untuk pulang ke Kuala Lumpur atau kawasan lain di seluruh negara ditetapkan.
“Kepulangan dari kampung melibatkan perkara besar. Banyak isu seperti bagaimana kalau tiada kenderaan dan bagaimana jika mempunyai kenderaan, tetapi ada 5 orang dalam satu kenderaan.
“Ia melanggar akta. Setiap kereta hanya dibenarkan 1 orang sedangkan ada 5 orang. Banyak perkara perlu dibincangkan,” katanya.
Semalam, polis memaklumkan bahawa orang ramai yang terkandas di kampung halaman dan mahu pulang ke kediaman masing-masing dibenarkan melakukannya dalam tempoh 3 hari, iaitu dari 1 hingga 3 Mei.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata. mereka yang layak boleh mengemukakan permohonan bermula 26 April menerusi aplikasi Gerak Malaysia yang boleh dimuat turun daripada Google Playstore, Apple App Store dan Huawei App Gallery.