PKP: Timbalan menteri kesihatan mohon maaf, beri keterangan kepada polis

PKP: Timbalan menteri kesihatan mohon maaf, beri keterangan kepada polis

Azmi berkata beliau memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya petang ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Noor Azmi Ghazali memohon maaf dan mengakui kesilapan berhubung kehadiran beliau di Maahad Tahfiz Quran Lid Dakwah Wal Imamah di Lenggong, Perak pada 17 April lalu.

Katanya, beliau telah memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya petang tadi dan bersedia memberi kerjasama penuh dalam siasatan berhubung insiden itu.

“Saya juga amat menghargai pengorbanan besar yang dilakukan oleh barisan hadapan seperti polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), warga petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi kerajaan lain yang terlibat dalam usaha memerangi wabak Covid-19 ini.

“Terima kasih atas jasa dan pengorbanan anda semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu tular di media sosial gambar Noor Azmi dan beberapa yang lain menikmati hidangan makanan semasa PKP.

Perbuatan itu mendapat kritikan banyak pihak.

Azmi juga berkata, beliau amat menghargai komitmen pihak polis dalam menjalankan tanggungjawab mereka dalam usaha menguatkuasakan undang-undang tanpa mengira latar belakang individu, jawatan dan sebagainya.

“Saya berdoa agar seluruh rakyat Malaysia terus diberikan kesabaran dan tenang menghadapi segala cabaran yang dihadapi dalam tempoh PKP ini,” katanya.

Semalam anggota exco kerajaan negeri Perak Razman Zakaria yang turut hadir pada majlis sama turut membuat permohonan maaf terbuka di laman Facebook miliknya.

“Saya memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat atas kekhilafan yang berlaku. Pencerahan yang saya berikan ini bukan untuk dikecualikan daripada tindakan undang-undang tetapi untuk menjelaskan keadaan sebenar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.