
Ketika banyak negara sedang melaksanakan perintah kawalan pergerakan membuatkan semua orang duduk di rumah, banyak haiwan dilihat mula selesa untuk keluar dan menyesuaikan diri dengan alam sekitar.
Inilah yang berlaku di Taman Negara Kruger di Afrika Selatan apabila jalan raya di kawasan itu yang selalunya sibuk dengan pelancong kini sepi susulan usaha membendung penularan Covid-19.
Ia sekaligus memberi kebebasan kepada haiwan-haiwan di sini bebas berada di mana sahaja mereka suka sejak ia ditutup 25 Mac lalu.
Dan ia termasuklah beberapa ekor singa dilihat mengambil alih jalan raya dengan berbaring selesa.

Menurut CNN, foto daripada Taman Negara Kruger di Afrika Selatan itu jelas menunjukkan sekumpulan singa itu langsung tidak terganggu dengan kehadiran jurugambar.
Malah, laman Twitter rasmi Kruger National Park turut melaporkan sekumpulan singa itu biasanya akan berada di Taman Negara Kontrak Kempiana, iaitu satu kawasan yang tidak dapat dilihat oleh pelancong.
Bagaimanapun, sejak pelaksanaan lockdown di Afrika Selatan, singa berkenaan dilihat selesa berbaring di atas jalan kerana tiada kenderaan yang melintas pada waktu ini.
Renjer taman tersebut, Richard Sowry berkata, keadaan itu sungguh luar biasa kerana singa-singa ini biasanya kelihatan berada di atas jalan raya pada waktu malam sahaja terutama semasa musim sejuk.

Sowry berkata, walaupun taman itu ditutup tetapi beliau masih meneruskan tugasnya memantau pergerakan haiwan-haiwan di taman negara tersebut bagi memastikan tiada pemburu-pemburu haram mengambil kesempatan.
“Saya memerhati kumpulan singa-singa dari jauh kerana haiwan ini biasanya melihat manusia di dalam kenderaan. Singa-singa ini ada naluri ketakutan jika melihat orang berjalan kaki. Jadi, saya memantau dari jauh,” katanya yang berkongsi gambar-gambar.
Beliau tidak menolak fenomena ini kerana singa-singa berasa selamat untuk berada di atas jalan raya tanpa ada kelibat manusia.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]