
Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, berkata langkah itu selaras Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) bawah Teras 2: Pembangunan Modal Insan, yang menekankan peningkatan produktiviti.
“Sebagai respons terhadap tekanan ekonomi dan keperluan semasa, kerajaan melalui Jemaah Menteri pada 1 April lepas telah bersetuju agar dasar BDR dilaksanakan bermula 15 April ini namun, jangan salah faham.
“BDR bukan bermaksud ‘baring duduk rehat’ atau ‘beli-belah di pasar raya’. Ia mesti mengikut peraturan dan tatacara yang ditetapkan. Output dan produktiviti mesti sama, malah kalau boleh lebih baik daripada kerja di pejabat,” katanya menurut Bernama.
Beliau berucap dalam Majlis Jelajah Taat Setia Madani peringkat Selangor di Shah Alam.
Shamsul turut menegaskan, penjawat awam perlu menunjukkan teladan kepada rakyat dengan bukan sahaja melaksanakan arahan, tetapi memacu pelaksanaan secara bijaksana.
Selaras amanat Perdana Menteri Anwar Ibrahim, beliau menyeru budaya berjimat cermat terus diamalkan secara bersungguh-sungguh di setiap jabatan.
Semalam, satu surat edaran dikeluarkan yang menetapkan pegawai perkhidmatan awam persekutuan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor serta semua ibu negeri yang mempunyai jarak perjalanan sehala ke pejabat melebihi 8km layak melaksanakan BDR mulai 15 April.
Ketetapan itu dinyatakan dalam surat bertajuk ‘Pelaksanaan Bekerja Dari Rumah bagi Perkhidmatan Awam Berikutan Konflik Asia Barat’ ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Menurut surat edaran itu, Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian SR.4.1.2: Dasar Bekerja dari Rumah memperincikan dasar, syarat, dan peraturan pelaksanaan BDR.
Pelaksanaan BDR secara berperingkat adalah langkah strategik kerajaan bagi memperkukuh kesiapsiagaan dalam menghadapi krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.