Restoran mamak cadang waktu operasi 5 pagi hingga 6 petang

Restoran mamak cadang waktu operasi 5 pagi hingga 6 petang

Perubahan masa itu bagi memudahkan umat Islam berpuasa membeli makanan susulan lanjutan PKP.

Restoran mamak mencadangkan kerajaan mengubah waktu perniagaannya sepanjang bulan Ramadan.
PETALING JAYA:
Pengusaha restoran mamak mencadangkan kerajaan supaya membenarkan operasi mereka diubah kepada 5 pagi hingga 6 petang ketika bulan Ramadan.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Jawahar Ali Taib Khan berkata, perubahan masa itu bagi memudahkan umat Islam berpuasa membeli makanan susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Presma ingin mencadangkan agar kerajaan mengubah waktu perniagaan yang dibenarkan sekarang iaitu dari jam 8 pagi hingga 8 malam kepada 5 pagi hingga 6 petang sepanjang bulan Ramadan bagi memudahkan umat Islam membeli juadah bersahur dan berbuka.

“Dengan cara itu, kita semua boleh berpuasa di dalam tempoh PKP tanpa banyak masalah kerana restoran yang menjual makanan muslim dibuka pada waktu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Jawahar turut mencadangkan kerajaan mengekalkan levi pekerja asing pada kadar RM2,085.

“Kerajaan sebelum ini menetapkan kadar levi sebanyak RM6,000 bagi pekerja asing yang bekerja lebih 10 tahun di negara ini.

“Presma meminta agar kerajaan mengekalkan harga sebelum ini iaitu RM2,085 meliputi bayaran visa, levi perkhidmatan dan lain-lain.

“Ini kerana ada dalam kalangan ahli Presma yang mempunyai pekerja melebihi tempoh 10 tahun bekerja di negara ini dan masih boleh menyumbang kepada perniagaan majikannya, namun kadar yang dikenakan terlalu tinggi dan membebankan pengusaha,” katanya.

Kerajaan melanjutkan PKP sehingga 28 April dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 yang kini mengorbankan 76 nyawa di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.