
Adun Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof berkata, makanan yang dibekalkan oleh pihak berkuasa seperti makanan dalam tin dan minuman bergula adalah “terlalu asas” dan tidak sesuai dengan sesetengah penduduk yang menghidap penyakit kronik.
Beliau menggesa Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) supaya membenarkan agensi yang bertanggungjawab ke atas pengagihan makanan dibekalkan dengan makanan segar.
“Jika diharapkan Nadma akan menyemak semula jenis bantuan makanan yang diagihkan ke sesetengah kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) agar sesuai dengan keperluan di kawasan terbabit.
“Penduduk Sungai Lui yang dikenakan PKPD tidak mahukan makanan mewah, hanya makanan segar yang berkhasiat seperti bawang, telur, sayur-sayuran dan daging,” katanya dalam satu kenyataan.
Edry memberi tahu FMT beliau menerima aduan daripada pesakit diabetik dan tekanan darah tinggi, selain menambah bahawa penduduk bergantung pada NGO dan pejabat beliau bagi mendapatkan bekalan daging ayam dan telur.
Ketika dihubungi, ketua kampung tersebut berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membekalkan penduduk dengan bantuan makanan seperti ikan, ayam dan sayur-sayuran.
Beliau, yang enggan dikenali memberitahu FMT, mereka mempunyai bekalan makanan yang mencukupi hasil sumbangan NGO, sementara mereka yang menghidap penyakit kronik akan menghindari makanan yang dibekalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Seorang penduduk, Khadijah Baharudin, ibu 2 anak berkata, penduduk berkomunikasi melalui kumpulan WhatsApp bagi membantu mana-mana orang yang memerlukan bantuan, sementara penduduk yang berada di luar kawasan perintah sekatan juga memberikan sesetengah barang keperluan.
Beliau berkata, mereka akan meninggalkan barangan tersebut di pos tentera yang mengawal kampung itu, yang akan menyerahkannya kepada penduduk.
Khadijah berkata, penduduk kekurangan minyak masak dan telur.
Mereka menerima bantuan barangan makanan yang serupa, biasanya terdiri daripada sardine dalam tin, beras, susu, garam, biskut dan teh.
“Bila saya baca sesetengah hantaran di atas talian, ada yang kata JKM beri mencukupi, jadi kami harap keperluan kami dipenuhi,” katanya.
“Tapi keadaan tak seperti yang dikatakan.”
Ketika dihubungi, pegawai pembantu Menteri Pertahanan Ismail sabri Yaakub berkata, penduduk yang memerlukan makanan khas boleh menghubungi pangkalan perubatan di situ bagi mendapatkan bantuan.
Katanya, beliau sendiri telah menghubungi penduduk untuk memeriksa bantuan yang diagihkan, selain berkata, kerajaan berusaha untuk membantu.