Pelajar mula alami tertekan susulan lanjutan PKP, kata majlis perundingan pelajar

Pelajar mula alami tertekan susulan lanjutan PKP, kata majlis perundingan pelajar

Putrajaya dilaporkan meminta KKM mengkaji kesan langkah menghantar pulang 80,000 pelajar yang kini terperangkap di kampus berikutan pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu.

Majlis perundingan pelajar berkata, terdapat pelajar yang tertekan dan terganggu emosi apabila timbul cadangan supaya PKP dilanjutkan sehingga Aidilfitri.
PETALING JAYA:
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menzahirkan kebimbangan terhadap nasib pelajar yang masih berada di kampus, susulan keputusan Putrajaya melanjutkan perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga 28 April depan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Presiden MPPK, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, ada di antara pelajar sudah mulai berasa tertekan dan emosinya turut terganggu apabila timbul cadangan daripada beberapa pihak supaya PKP terus dilanjutkan sehingga Aidilfitri.

“Ramai pelajar di kampus berada dalam tekanan dan ada juga kes kemurungan. Kita tidak mahu ia membawa kepada perkara tidak diingini dan sebagainya. Namun kita juga bimbang akan implikasi yang bakal berlaku apabila perkara ini (lanjutan PKP) dilaksanakan.

“Hantarlah mereka pulang ke rumah, sekurang-kurangnya sebelum Aidilfitri. Pastikan pelajar benar-benar bebas daripada Covid-19, bagi memastikan ia tidak berjangkit dengan ahli keluarga apabila mereka tiba di kampung halaman nanti,” katanya kepada FMT.

Terdahulu Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata, Putrajaya akan meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengkaji kesan langkah menghantar pulang 80,000 pelajar yang kini terperangkap di kampus universiti masing-masing berikutan pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu.

Ismail berkata, jumlah itu tidak termasuk pelajar yang tinggal di luar kampus, iaitu yang menyewa rumah dan turut mempunyai keinginan untuk pulang ke rumah ibu bapa masing-masing.

Sebelum itu, Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad turut dilaporkan berkata bahawa pihaknya sedang mencari kaedah terbaik bagi menghantar pulang pelajar yang masih berada di kampus ke rumah masing-masing susulan pengumuman lanjutan tempoh PKP.

Presiden MPPK Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri.

Muhammad Amir mencadangkan supaya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bekerjasama dengan pihak berkuasa lain seperti polis dan tentera bagi memastikan para pelajar dapat pulang dengan lancar dan selamat tiba di kampung halaman masing-masing.

“KPT juga boleh memikirkan kaedah bersesuaian untuk pelajar yang tinggal di kawasan perintah kawalan diperketatkan (PKPD). Mereka ini juga pada akhirnya perlu dihantar pulang.

“Bagaimanapun, MPPK tidak mengharapkan ia dilakukan secara terburu-buru.

“Bagi pelajar Sabah dan Sarawak yang belajar di Semenanjung dan pelajar Semenanjung yang belajar di Sabah dan Sarawak pula, pihak KPT boleh bekerjasama dengan syarikat penerbangan bagi memastikan mereka dapat pulang dengan sebaiknya,” katanya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lepas menunjukkan kesan positif dalam mengawal penyebaran Covid-19, namun ia diteruskan ke fasa ke-3 atas nasihat KKM dan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mengelak penularan semula wabak itu seperti yang berlaku di beberapa negara lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.