RM1 juta bantuan Covid-19 tak masuk akaun saya, kata menteri muda Sarawak

RM1 juta bantuan Covid-19 tak masuk akaun saya, kata menteri muda Sarawak

Dr Annuar Rapaee berkata, isu itu berpunca daripada peruntukan RM200,000 yang disalurkan kepada semua Adun Sarawak, tidak kira mereka ialah wakil rakyat kerajaan atau pembangkang.

Annuar Rapaee (tengah) menyifatkan dakwaan bantuan Covid-19 berjumlah RM1 juta dimasukkan ke akaun bank pusat khidmatnya sebagai ‘pembohongan besar’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pembantu menteri Sarawak menafikan dakwaan RM1 juta bantuan Covid-19 daripada kerajaan negeri dimasukkan ke akaun bank pusat khidmatnya.

Dr Annuar Rapaee berkata, isu itu berpunca daripada peruntukan RM200,000 yang disalurkan kepada semua Adun Sarawak, tidak kira mereka ialah wakil rakyat kerajaan atau pembangkang.

Di daerah Sibu, Annuar yang juga Adun Nangka, berkata terdapat 5 kerusi Dewan Undangan Negeri, termasuk kawasannya dan ini bermakna jumlah peruntukan untuk semua kerusi itu ialah RM1 juta.

Empat DUN lain ialah Bukit Asek (DAP), Dudong (PSB), Pelawan (DAP) dan Bawang Assan (PSB).

“Pada mulanya, ia dicadangkan secara dalaman peruntukan bagi 5 DUN itu disalurkan ke pusat khidmat saya,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, cadangan itu dinyatakan dalam satu memo yang tersebar kemudian, tetapi ia tidak pernah dilaksanakan kerana memo terbabit ditarik balik selepas Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg tidak bersetuju.

Annuar, menteri muda pendidikan, sains dan penyelidikan teknologi, berkata kerajaan memutuskan dana itu akan disalurkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian yang diketuai penduduk di setiap bahagian.

Bagi kes Sibu, dana itu disalurkan kepada ketua Jawatakuasa Pengurusan Bencana Bahagian, iaitu residen bahagian Charles Siaw.

“Wakil rakyat tidak boleh mengetuai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian. Jadi, wang itu disalurkan kepada Siaw, bukan saya atau Adun atau ahli Parlimen lain.”

Kataya, terpulang kepada Siaw untuk menentukan cara menggunakan dana itu.

“Apa pembelian yang dibuat, vendor mana dipilih…saya tidak tahu. Saya hanya menguruskan pengagihan bantuan bagi kawasan saya.”

Jadi, Annuar berkata, sebarang dakwaan beliau “mengawal” dana itu ialah “pembohongan besar”.

Katanya, beliau sudah menjelaskan perkara itu kepada Adun dan ahli Parlimen pembangkang di daerah terbabit melalui kumpulan WhatsApp.

“Kumpulan WhatsApp ini diwujudkan Adun Bukit Assek, Irene Chang. Mereka meminta saya dimasukkan dalam kumpulan itu supaya saya boleh memberitahu perkembangan terkini perkara berkaitan Covid-19 kepada mereka di kawasan itu.

“Hari ini, saya mempelawa mereka untuk bersama saya 10 pagi esok bagi melihat akaun Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian berhubung RM1 juta dimasukkan ke akaun siapa.”

Katanya, beliau turut mempelawa media untuk menyertai mereka esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.