
Sebagai salah sebuah badan perakaunan terbesar di dunia dengan lebih 166,000 ahli yang bekerja di lebih 100 negara, CPA Australia mendakwa mempunyai lebih 10,000 ahli di Malaysia.
Dijalankan antara 18 November dan 12 Disember tahun lepas, Survei Perniagaan Kecil Asia-Pasifik 2019-2020 oleh CPA Austarlia mendapati banyak PKS di Malaysia berdepan pandemik itu dengan kedudukan kewangan yang baik, iaitu lebih 2/3 (67.7%) daripadanya melaporkan perkembangan perniagaan pada 2019.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, virus Covid-19 yang mula dikesan di China hujung tahun lepas kini menular ke 212 negara dan rantau di seluruh dunia serta meragut nyawa 85,711 orang daripada 1.4 juta penduduk dunia yang disahkan positif wabak itu.
Wabak tersebut dan perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan selepas itu memberi kesan besar ke atas ekonomi dunia, namun 51.7% perniagaan kecil Malaysia menjana lebih 10% daripada pendapatannya secara atas talian tahun lepas, kata CPA Australia.
Justeru badan itu percaya, PKS di negara ini berada pada kedudukan lebih baik bagi mengimbangi sekurang-kurangnya sebahagian daripada kehilangan pendapatannya melalui kaedah tradisional.
Mengakui bahawa margin khilaf perniagaan kecil tidak besar, CPA Australia berkata, pengurusan berhemah yang memberi perhatian kepada perubahan kehendak pelanggan serta penggunaan teknologi secara lebih meluas, mungkin diperlukan untuk pemulihan perniagaan dan kejayaan masa depannya.
“Perniagaan yang ada sebelum bermulanya pandemik ini tidak akan sama dengan perniagaan yang wujud selepas ia berakhir dan kegiatan ekonomi mula pulih,” kata pengurus besar hal ehwal luar CPA Australia Paul Drum.
“Pemilik perniagaan kecil berdepan cabaran untuk menyesuaikan perniagaan mereka dengan ‘realiti baru’ ketika kedudukan kewangan menjadi sempit, walaupun pakej rangsangan kerajaan turut berperanan meringankan aspek cabaran itu.
Survei melibatkan 4,193 operator perniagaan kecil di 11 pasaran utama di rantau ini menunjukkan banyak perniagaan kecil Malaysia diurus dengan baik dan memberi fokus kepada pelanggan mereka.
CPA Australia juga mendapati 4 faktor mempunyai pengaruh positif khusus ke atas perniagaan kecil di negara ini pada 2019, iaitu kesetiaan pelanggan, kepuasan pelanggan yang meningkat, kakitangan yang baik dan strategi perniagaan lebih baik.
Badan perakaunan itu berkata, dapatan survei itu secara konsisten menunjukkan bahawa perniagaan yang memberi perhatian kepada pelanggan, teknologi dan strategi berkembang lebih baik berbanding perniagaan lain.
“Walaupun langkah memberi perhatian kepada aliran tunai dan kesihatan kewangan adalah baik pada masa ini, namun perniagaan juga perlu melihat bagaimana mereka boleh memenuhi keperluan pelanggan yang cepat berubah, terutama melalui jualan atas talian yang lebih banyak,” kata Drum.
Walaupun lebih separuh perniagaan kecil Malaysia menjana lebih 10% pendapatannya secara atas talian, namun jika sebahagian besar mereka mahu pulih daripada kesan krisis Covid-19, maka angka itu seharusnya menjadi lebih besar apabila kami menjalankan semula survei ini pada hujung tahun ini.
“Oleh sebab hampir semua perniagaan di Malaysia melabur dalam teknologi pada 2019 dan 45.7% menyatakan bahawa pelaburan itu sudah membuahkan hasil, maka jelas kelihatan banyak perniagaan kecil negara di negara ini mempunyai kemampuan digital untuk memperkembang jualan atas talian mereka pada 2020.”