Jangan panik dengan peraturan baharu lapor jawatan kosong, PKS diberitahu

Jangan panik dengan peraturan baharu lapor jawatan kosong, PKS diberitahu

Persatuan PKS berkata Seksyen 45F Akta Skim Insurans Pekerjaan hanya dikuatkuasakan selepas tempoh peralihan selama dua tahun.

Perusahaan kecil dan sederhana dinasihat meneruskan saluran pengambilan pekerja sedia ada dan beri perhatian kepada taklimat serta sesi libat urus yang akan menerangkan keperluan baharu itu.
PETALING JAYA:
Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) diminta supaya tidak panik berhubung peruntukan baharu di bawah Skim Insurans Pekerjaan (SIP) yang mewajibkan majikan melaporkan kekosongan jawatan.

Naib Presiden Persatuan PKS Malaysia, Ada Poon, berkata perniagaan boleh meneruskan operasi seperti biasa kerana Seksyen 45F Akta SIP, yang mewajibkan majikan melaporkan kekosongan jawatan, belum dikuatkuasakan.

Ada Poon.
Ada Poon.

“Perkeso menegaskan bahawa penguatkuasaan Seksyen 45F yang dipinda hanya akan dibuat selepas sesi libat urus bersama majikan, wakil dan pihak berkepentingan utama, khususnya Persatuan PKS,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Perkeso mengumumkan moratorium sehingga dua tahun bagi penguatkuasaan untuk memastikan peralihan yang lancar, dan tiada penalti akan dikenakan sementara rundingan dan persediaan sistem sedang dijalankan.

“Dalam tempoh peralihan ini, majikan hanya perlu terus menggunakan saluran pengambilan pekerja sedia ada, mematuhi keperluan caruman SIP semasa dan beri perhatian kepada taklimat serta sesi libat urus yang akan menerangkan keperluan baharu ini,” katanya.

Poon juga berkata kementerian juga telah beri jaminan bahawa penalti RM10,000 kerana tidak mematuhi pemberitahuan kekosongan jawatan hanya akan dikenakan selepas majikan menerima peringatan dan panduan.

“Pendekatan berfasa ini mencerminkan komitmen Kementerian Sumber Manusia untuk menyokong majikan dan pekerja ketika mereka menyesuaikan diri dengan sistem baharu,” katanya.

Minggu lalu, Dewan Rakyat meluluskan pindaan kepada Akta SIP yang bertujuan memperluaskan sokongan kepada pencarum Perkeso yang kehilangan pekerjaan serta memperkukuh tadbir urus skim tersebut.

Perkeso kemudian menjelaskan bahawa ia akan melaksanakan moratorium sehingga dua tahun sebelum menguatkuasakan sepenuhnya semua pindaan, bagi beri masa yang mencukupi kepada majikan, khususnya PKS, untuk menyesuaikan diri.

Dengan moratorium itu, Poon berkata perniagaan harus melihat tempoh semasa sebagai fasa reka bentuk dan rundingan, bukannya krisis pematuhan.

Beliau juga menggesa perniagaan mengambil bahagian secara aktif dalam sesi rundingan, membangkitkan cabaran operasi, dan keperluan pelaporan jawatan kosong yang bakal dilaksanakan.

“Ini akan memastikan apabila langkah pelaporan akhirnya diaktifkan, setiap perincian adalah jelas – siapa yang perlu melapor, maklumat apa yang diperlukan, bila pelaporan bermula, dan pengecualian yang terpakai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.