Penganalisis ‘teruja’ 5 menteri dari Kelantan dalam Kabinet baru

Penganalisis ‘teruja’ 5 menteri dari Kelantan dalam Kabinet baru

Perkara pertama yang menggembirakan Kamarul Zaman Yusoff adalah jawatan menteri kewangan oleh DAP kini disandang tokoh korporat.

Kerajaan baru pimpinan Muhyiddin Yassin mengumumkan pembentukan 26 kementerian termasuk 4 menteri kanan, semalam.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik berkongsi keterujaannya berhubung pembentukan Kabinet baru di mana negeri kelahirannya, Kelantan memiliki 5 menteri dan 5 timbalan menteri.

Kamarul Zaman Yusoff dalam satu hantaran di Facebook berkata jika negeri kelahiran menjadi ukuran, maka bilangan wakil Kelantan dalam kerajaan baru sebenarnya 11 orang mengambil kira ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Kamaruddin Jaafar.

“Jika nama Kamaruddin Jaffar diambil kira, maka bilangan wakil Kelantan di dalam kerajaan baru ini adalah menyamai bilangan wakil terbanyak di dalam kerajaan baru, iaitu Sarawak dengan 11 wakil, membabitkan 1 menteri kanan, 3 menteri dan 7 timbalan menteri,” katanya.

Katanya, daripada 32 jawatan menteri dan 38 jawatan timbalan menteri yang diumumkan, 5 ahli Parlimen dari Kelantan dilantik sebagai menteri dan 5 lagi dilantik sebagai timbalan menteri.

Menteri dari Kelantan terdiri daripada Menteri Pendidikan Radzi Jidin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) Mustapa Mohamed; Menteri Alam Sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man; Menteri Pembangunan Wilayah Annuar Musa; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan.

Ahli Parlimen Kelantan yang mengisi jawatan timbalan menteri pula ialah Mohd Ikhmal Hisham Abdul Aziz (pertahanan); Ahmad Marzuk Shaary (JPM – hal ehwal agama); Siti Zailah Mohd Yusoff (keluarga masyarakat); Che Abdullah Mat Nawi (pertanian dan industri makanan) dan Dr Ahmad Masrizal Muhammad (alam sekitar).

Selain itu, perkara menggembirakan Kamarul juga adalah 26 kementerian tidak lagi diwakili mana-mana wakil rakyat Pakatan Harapan, selain melihat jawatan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan kini disandang tokoh korporat, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

 

Kamarul Zaman Yusoff

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembentukan 26 kementerian termasuk 4 menteri kanan yang akan membantunya menyelaras hal ehwal Kabinet, menggantikan peranan timbalan perdana menteri.

Empat menteri kanan berkenaan – ahli PPBM dan bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali; Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob; Naib Yang Dipertua Kanan PBB, Fadillah Yusof; dan Ketua Penerangan PPBM, Mohd Radzi Md Jidin – akan menyelaras bidang ekonomi, keselamatan, pembangunan prasarana, serta pendidikan dan sosial “dengan lebih cekap dan berkesan”.

Barisan menteri kali ini menyaksikan seramai 9 ahli Umno, MCA dan MIC 1, PPBM 7, PAS 3, Gabungan Parti Sarawak 4, Parti Bersatu Sabah 1, dan 3 bekas pemimpin PKR yang menyertai PPBM baru-baru ini.

 

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.