
Setiausaha Umno Melaka berusia 54 tahun itu menggantikan Adly Zahari yang dilantik sebagai ketua menteri Melaka ke-11 pada 11 Mei 2018.
Bernama melaporkan istiadat angkat sumpah itu diadakan di depan Yang Dipertua Melaka, Khalil Yaakob di pejabatnya di Ayer Keroh kira-kira 3.30 petang ini.
Turut hadir 3 bekas ketua menteri Melaka, iaitu Abdul Rahim Thamby Chik, Ali Rustam dan Idris Haron yang juga Adun Sungai Udang.
Adly yang juga Adun Bukit Katil bagaimanapun tidak kelihatan.
Sulaiman pernah menjadi timbalan exco perancangan ekonomi, pelaburan dan perindustrian Melaka dari 2013 hingga 2018 di bawah pentadbiran Idris ketika itu.
Pada 2 Mac lalu, Khalil dilaporkan mendapat representasi Adly tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar daripada 28 Adun Melaka.
Jumaat lalu, Pengerusi BN Melaka, Ab Rauf Yusoh berkata, Khalil memaklumkan ketua menteri Melaka yang baru dalam kalangan 15 Adun menyokong gabungan BN.