Polis Nigeria serbu ‘kilang bayi’, selamatkan wanita hamil

Polis Nigeria serbu ‘kilang bayi’, selamatkan wanita hamil

Pemilik klinik mengupah lelaki untuk menghamilkan wanita dan menjual bayi yang baru lahir untuk mengaut keuntungan.

Dalam beberapa kes, wanita muda dikurung dan diperkosa sebelum bayi mereka dijual di pasaran gelap. (Gambar AFP)
LAGOS:
Polis Nigeria menyelamatkan 13 orang, termasuk kanak-kanak dan 6 wanita hamil, dari sebuah klinik haram di negeri Ogun, kata jurucakapnya pada Jumaat.

Wanita berusia antara 20 hingga 25 tahun memberitahu polis pemilik klinik mengupah lelaki untuk menghamilkan mereka dan kemudian menjual bayi yang baru lahir untuk keuntungan dalam apa yang dipanggil “kilang bayi”.

“Kilang-kilang” ini biasanya merupakan kemudahan haram yang berselindung sebagai klinik perubatan swasta yang menempatkan ibu hamil dan menawarkan bayi mereka untuk dijual.

Dalam beberapa kes, wanita muda dikurung dan diperkosa sebelum bayi mereka dijual di pasaran gelap.

“Operasi itu dijalankan pada 28 Feb selepas seorang penghuni rumah tersebut yang terletak di sekitar Mowe melarikan diri dan memberikan maklumat kepada polis,” kata jurucakap polis Abimbola Oyeyemi kepada AFP.

“Kami juga menahan pemilik rumah dan 2 lelaki yang dipercayai diupah untuk menghamilkan wanita,” katanya.

Oyeyemi berkata wanita itu memberitahu polis bahawa pemilik rumah biasanya mengupah lelaki untuk tidur dengan mereka.

“Mereka memberitahu kami bahawa bayi-bayi itu akan diambil dari mereka dan dijual kepada pelanggan,” katanya.

“Suspek berada dalam tahanan dan mereka akan didakwa di mahkamah selepas siasatan kami selesai,” katanya.

Serbuan polis terhadap rumah bersalin haram agak biasa di Nigeria, terutama di selatan.

Bayi lelaki biasanya dijual dengan harga 500,000 naira ($1,400 hingga 1,250 euro) manakala bayi perempuan berharga 300,000 naira, kata polis merujuk kes-kes sebelum ini.

Minggu lalu, 24 bayi dan 4 ibu hamil diselamatkan di bandar selatan Port Harcourt.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.