Covid-19: Malaysia Airlines jadual semula penerbangan dari Arab Saudi

Covid-19: Malaysia Airlines jadual semula penerbangan dari Arab Saudi

Malaysia Airlines berkata sesetengah penumpang mungkin perlu berlepas dari bandar raya berbeza atau mengalami kelewatan penerbangan.

Pada Rabu kerajaan Arab Saudi mengumumkan penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah dan aktiviti melawat Masjid Nabawi sebagai langkah pencegahan proaktif untuk menyekat penularan wabak Covid-19. (Gambar AP)
PUTRAJAYA:
Amal Malaysia Airlines, perkhidmatan sewa khas syarikat penerbangan kebangsaan yang dikhususkan untuk jemaah haji dan umrah, menjadualkan semula penerbangan 2 kali seharinya ketika ini antara KLIA dan Jeddah (JED) dan Madinah (MED) untuk membawa pulang penumpang yang sudah berada di Arab Saudi.

Malaysia Airlines dalam kenyataan semalam berkata, 10 penerbangan akan dilakukan dalam tempoh 10 hari akan datang untuk tujuan itu.

“Keutamaan kami pada ketika ini adalah untuk membawa penumpang kami yang sudah berada di Arab Saudi pulang ke sisi keluarga mereka,” katanya.

Disebabkan penjadualan semula penerbangan itu, Malaysia Airlines berkata sesetengah penumpang mungkin perlu berlepas dari bandar raya berbeza atau mungkin mengalami kelewatan penerbangan.

Penumpang yang terjejas bagaimanapun akan disediakan penginapan di hotel, makanan dan pengangkutan antara JED dan MED atau sebaliknya, sekiranya perlu,” katanya.

Terdahulu semalam, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah berkata, semua penerbangan pulang jemaah umrah Malaysia dari Jeddah dan Madinah di Arab Saudi berjalan seperti biasa.

Konsulat itu, melalui kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya, berkata, penerbangan berkenaan termasuk kendalian syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia.

Kerajaan Arab Saudi mengumumkan penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah dan aktiviti melawat Masjid Nabawi sebagai langkah pencegahan proaktif untuk menyekat penularan wabak Covid-19, menurut Kementerian Luarnya pada Rabu.

Saudi Press Agency (SPA) melaporkan kerajaan negara itu turut menggantung sementara kemasukan pelawat yang memiliki visa pelancong dari negara yang terjejas akibat Covid-19 berdasarkan kriteria ditetapkan pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.