Pelancong Saudi dipelawa ke Perlis sempena TMM2026

Pelancong Saudi dipelawa ke Perlis sempena TMM2026

Raja Muda Perlis bertitah negeri itu memiliki suasana sangat kondusif untuk pelancong Muslim, dengan penekanan terhadap amalan dan persekitaran Islami.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (empat dari kanan) melancarkan Promosi Masakan Perlis di Restoran MyMakan di Raoudat Al Khaleej Ar Rawdah, Jeddah. (Gambar Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis)
PETALING JAYA:
Pelancong Arab Saudi dipelawa berkunjung ke Perlis yang menawarkan pengalaman unik menggabungkan kemudahan mesra Muslim, tarikan budaya dan alam semula jadi, khasnya sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah Perlis sedia menerima kunjungan pelancong antarabangsa, termasuk dari Timur Tengah, serta diaspora Malaysia yang menetap di negara itu.

“Perlis memiliki suasana sangat kondusif untuk pelancong Muslim, dengan penekanan terhadap amalan dan persekitaran Islami.

“Program seperti Perlis International Sunnah Convention pada 31 Jan hingga 1 Feb depan yang dikendalikan dalam Bahasa Inggeris, dan Perkampungan Sunnah pada Mei nanti dalam Bahasa Melayu adalah bukti komitmen negeri ini terhadap pelancongan Islamik, memastikan rasa selesa dan ketenangan fikiran bagi pengunjung Muslim.”

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin selepas melancarkan Promosi Masakan Perlis di Restoran MyMakan di Raoudat Al Khaleej Ar Rawdah, Jeddah, Arab Saudi, baru-baru ini.

Inisiatif ini dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Konsul Haji Malaysia di Jeddah bersama rakan strategik, termasuk Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta ahli keluarga diraja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.