Azmin antara hadir mesyuarat 4 jam PPBM

Azmin antara hadir mesyuarat 4 jam PPBM

Ahli Parlimen Gombak itu turut hadir di mana beliau dilihat meninggalkan bangunan itu bersama ahli Parlimen PPBM yang lain.

Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali.
KUALA LUMPUR:
Beberapa ahli Parlimen PPBM termasuk Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali dilihat meninggalkan bangunan Yayasan Al-Bukhary selepas selesai mengadakan mesyuarat parti yang berlangsung hampir 4 jam.

Azmin dilihat meninggalkan bangunan itu bersama ahli Parlimen PPBM yang lain. Mesyuarat itu dipengerusikan Dr Mahathir Mohamad.

Ketika meninggalkan bangunan itu, Ahli Parlimen Alor Gajah Redzuan Yusof memberitahu wartawan untuk menunggu sidang akhbar yang dijangka akan berlangsung lewat hari ini.

“Tunggu malam nanti (beri kenyataan),” katanya kepada pemberita.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Kamaruddin Jaafar, salah seorang 11 ahli Parlimen yang meninggalkan PKR, dilihat tiba dan meninggalkan bangunan itu, manakala Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon juga dipercayai hadir.

Turut kelihatan Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin; Ahli Parlimen Kubang Pasu Amiruddin Hamzah; Ahli Parlimen Titiwangsa Rina Harun; Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik; Menteri Besar Perak Faizal Azumu dan Setiausaha Agung PPBM Marzuki Yahya.

Mahathir tidak dilihat meninggalkan bangunan tersebut.

Kumpulan 11 bekas ahli parlimen PKR dilaporkan akan bergabung dengan PPBM, dalam apa yang akan meningkatkan sokongan kepada Mahathir sebagai Anggota Parlimen Pakatan Harapan (PH) beralih kesetiaan kepada presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, Redzuan, yang juga ahli Majlis Tertinggi PPBM, mendedahkan parti itu memilih Muhyiddin sebagai perdana menteri ke-8.

Mahathir hari ini mengumumkan perdana menteri seterusnya bakal dipilih di Parlimen pada 2 Mac, kerana Yang di-Pertuan Agong mendapati tiada pihak yang mempunyai majoriti jelas untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Yusof menolak notis itu untuk memanggil sidang khas pada Isnin, mengatakan ia hanya boleh diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong memutuskan pembentukan kerajaan baru.

Raja-raja Melayu juga dilaporkan mengadakan persidangan khas di Istana Negara hari ini.

Difahamkan pertemuan itu adalah untuk membincangkan krisis politik selepas kerajaan PH dilaporkan kehilangan majoriti di Parlimen berikutan penarikan PPBM dari gabungan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.