Dr M bertugas seperti biasa tanpa Kabinet

Dr M bertugas seperti biasa tanpa Kabinet

Menurut sumber dalaman PMO, Mahathir Mohamad berada di dalam pejabatnya untuk bekerja seperti 'sediakala'.

Perdana Menteri Interim, Dr Mahathir Mohamad.
PUTRAJAYA:
Dr Mahathir Mohamad hari ini dilaporkan kembali ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk menjalankan tugas pentadbiran selepas dilantik sebagai perdana menteri interim oleh Yang di-Pertuan Agong, semalam.

Menurut sumber dalaman PMO, Mahathir berada di dalam pejabatnya untuk bekerja seperti “sediakala”.

Katanya, semua kakitangan dan pegawai di sana sudah pun menjangkakan kehadirannya sejak awal pagi tadi.

“Ini memang pejabat dia. Di sini lah dia bekerja,” kata sumber itu ketika dihubungi FMT.

Pagi tadi, pemberita yang bertugas di kediaman Mahathir mengesahkan kenderaan pemimpin itu meninggalkan rumahnya pada jam 9.15 pagi.

Semalam, Agong menerima peletakan jawatan Mahathir sebagai perdana menteri, beliau kemudian dilantik sebagai perdana menteri interim sehingga perdana menteri dilantik dan kerajaan baru ditubuhkan.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah juga membatalkan pelantikan menteri-menteri selaras dengan perletakan jawatan Mahathir.

Dilaporkan, pembatalan itu dibuat atas nasihat Mahathir sebagaimana yang diperuntukkan Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 43 perlembagaan menetapkan pelantikan menteri adalah dibatalkan oleh Agong atas nasihat perdana menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.