Sistem lantikan PM sudah kukuh, tak perlu pinda Perlembagaan

Sistem lantikan PM sudah kukuh, tak perlu pinda Perlembagaan

Agong lazimnya bertindak sama seperti di negeri dengan memilih ketua kerajaan dari pemimpin Melayu beragama Islam, kata Azmi Hassan.

istana negara
Pasca PRU14 dan PRU15 menyaksikan pembabitan secara langsung Agong dalam pelantikan perdana menteri bagi menstabilkan politik negara.
PETALING JAYA:
Penganalisis berpendapat sistem sedia ada untuk memilih perdana menteri, yang perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, memadai tanpa perlu meminda Perlembagaan seperti digesa pemimpin Bersatu, Noh Omar.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata lazimnya Agong sebagai ketua negara dilihat bertindak sama seperti sultan atau gabenor negeri yang melantik orang Melayu beragama Islam sebagai menteri besar atau ketua menteri, walaupun tidak dinyatakan secara tersurat.

“Agong beri kata persetujuan untuk menerima atau tidak,” katanya kepada FMT. “Bagi saya undang-undang perlembagaan sudah cukup kuat.”

Azmi menambah parti yang ingin meminda perlembagaan akan memerlukan sokongan 2/3 ahli Dewan Rakyat.

Pasca PRU14 dan PRU15 menyaksikan pembabitan secara langsung Agong dalam pelantikan perdana menteri bagi menstabilkan politik negara. Pada 2020, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah melantik Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin selepas kerajaan ketika itu tumbang, manakala pada 2025, baginda menyeru parti politik membentuk kerajaan perpaduan bagi memecahkan kebuntuan.

Kelmarin, Noh, ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu, berkata perlembagaan wajar dipinda bagi menetapkan jawatan perdana menteri hanya boleh disandang oleh orang Melayu beragama Islam.

Menurut bekas menteri itu, perkara terbabit ‘mungkin terlepas pandang’ semasa penggubalan perlembagaan, yang memperuntukkan hak orang Melayu dan kedudukan Islam.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata realiti politik menjamin bahawa perdana menteri akah dipilih atas sokongan Ahli Parlimen yang kawasan masing-masing didominasi pengundi Melayu dan Islam.

“Kuasa Melayu tidak terancam dari segi struktur, maka pindaan Perlembagaan hanya bersifat simbolik dan tidak menyelesaikan masalah sebenar.

“Ini (gesaan Noh) hanya gimik politik yang cuba guna sentimen Melayu bagi meraih sokongan, ketika dalam kerajaan tidak ada pula gesaan seperti itu,” kaanya.

Awang Azman percaya hanya watak politik terpinggir akan cuba mencipta ‘isu tak releven’ ini, sambil menggesa pemimpin Melayu fokus pada masyarakat.

“Kerajaan perlu fokus kepada pengukuhan ekonomi Melayu, kualiti pendidikan, daya saing belia, pembasmian rasuah serta keadilan dalam pelaksanaan dasar Bumiputera,” katanya.

Awang Azman beri contoh usaha memperkasa program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional dan pengenalan tadika pra-tahfiz bermula 2026, yang menurutnya memberi keseimbangan pembangunan ekonomi serta insaniah.

“Perlindungan sebenar Melayu datang daripada kekuatan institusi dan ekonomi, bukan penguncian jawatan melalui Perlembagaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.