
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata timbulnya tuduhan itu menunjukkan Mahathir sukar bekerjasama dengan Muhyiddin, bahkan akan mempengaruhi pandangan penyokong Perikatan Nasional (PN) dan pengundi muda.
“Bagi penyokong PN sudah pasti ini dilihat sebagai serangan politik oleh Mahathir, tapi bagi pengundi lain terutama pengundi muda, ini bukan sekadar tentang isu kredibiliti atau integriti tetapi lebih kepada politik lama tentang memburukkan imej pihak lawan.
“Kalau isu ini diteruskan saya tak nampak siapa lagi yang boleh bekerjasama dengan Mahathir dalam gagasan politik Melayu beliau,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, Muhyiddin menafikan dakwaan Mahathir dalam video tular bahawa beliau mencuri dan menyimpan wang parti di rumah, menjelaskan semua sumbangan kepada parti dimasukkan ke akaun parti yang diurus oleh bendahari agung.
Menurutnya lagi, Mahathir tidak pernah membangkitkan perkara itu dalam banyak pertemuan.
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya percaya tuduhan ini akan menghidupkan keraguan terhadap presiden Bersatu itu dalam kalangan pengundi atas pagar, manakala penyokong tegar Muhyiddin mungkin akan anggap sebagai dendam politik.
Beliau mengingatkan bahawa dakwaan itu bukan sekadar perbezaan politik, sebaliknya tuduhan peribadi dan moral yang melibatkan maruah dan nama baik.
“Tuduhan sebegini memutuskan silaturahim politik, bukan sekadar kerjasama,” katanya.
Muhyiddin sebelum ini berkata beliau tidak bercadang mengheret Mahathir ke mahkamah.
Semalam, Ketua Pemuda PKR Kamil Munim menggesa Muhyiddin membuat laporan polis, mengatakan tuduhan yang mengaitkan presiden Bersatu itu dengan jenayah pecah amanah ‘sangat berat’.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara percaya tuduhan itu akan memburukkan situasi dalam Bersatu.
Kemelut dalaman Bersatu bermula ketika Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, September lalu susulan penyebaran surat layang yang mendakwa wujud gerakan untuk menjatuhkan Muhyiddin.
“Ini akan dikatakan memburukkan lagi bukan sahaja Bersatu dalam hal ini tapi PN secara keseluruhan, kerana lemahnya Bersatu maka lemahnya PN,” katanya.
Hubungan antara Mahathir dan Muhyiddin dilihat retak susulan Langkah Sheraton pada Februari 2020, yang membawa kepada kejatuhan kerajaan pimpinannya. Mahathir adalah pengerusi Bersatu pada masa itu, tetapi kemudian keahliannya terhenti.
Kemudian, pada Julai 2023, Mahathir dan Muhyiddin dilaporkan bertemu bagi menjalin kerjasama untuk gerakan Proklamasi Orang Melayu.