
Idea itu dicadangkan Adun Penanti, Norlela Ariffin selepas melawat negeri Kerala di selatan India pada 2016. Kawasan Alleppey mengingatkannya kepada Sungai Terus, yang mengairi sawah padi di kawasannya.
“Allepey dan Kampung Terus hampir sama. Sawah padi yang menghijau dan pokok kelapa, kampung nelayan di sepanjang tasik dan banyak lagi.
“Saya fikir ini akan menjadi usaha yang baik untuk penduduk kampung mendapat manfaat melalui peningkatan eko-pelancongan dan pada masa yang sama, memperkasa wanita,” katanya dalam temu bual dengan FMT.

Rumah rakit tarikan pelancong utama di Allepey atau Alappuzha, sebuah daerah di Kerala yang terkenal dengan rumah rakit di mana pengunjung menginap beberapa malam di atas tongkang yang bergerak perlahan.
Norlela kagum dengan keusahawanan wanita Kerala yang menjalankan perniagaan tradisional di wilayah rumah rakit itu. Beliau berharap untuk menggalakkan wanita tempatan mencontohi wanita Kerala.
Bulan lalu, beliau mengundang seorang pengendali rumah rakit Kerala melawat Sungai Terus, dan beliau kagum dengan pemandangan “cantik” di sana.
Norlela berkata tetamu itu sangat kagum ketika menyusuri sepanjang sungai, termasuk sungai Perai, di mana Sungai Terus adalah anak sungainya.
Beliau berkata, tetamu itu juga menawarkan untuk melatih penduduk tempatan membina rumah rakit menggunakan buluh, satu proses yang biasanya mengambil masa 3 hingga 6 bulan untuk membina 2 tongkang.

“Walaupun sungai kita kurang luas, berbanding tasik-tasik yang besar di Kerala, pengendali rumah rakit merasakan Sungai Terus akan menawarkan pelancong supaya lebih dekat dengan alam semula jadi,” katanya.
Norlela berkata anggaran tongkang 3 bilik, dilengkapi dapur dan ruang makan yang besar, melibatkan kos hampir RM2 juta.
“Kami juga ingin membina stesen bot villa tidak jauh dari jeti nelayan Kampung Terus,” katanya.
Katanya, beliau akan mendapatkan pelaburan dalam bentuk geran daripada kerajaan, dan pelabur swasta menjalin usaha sama dengan koperasi penduduk kampung.
“Bot tidak perlu menyerupai reka bentuk yang ada di Kerala, tetapi dengan reka bentuk yang hampir sama dengan reka bentuk tempatan seperti Minangkabau dan gaya lain,” katanya.
Norlela berkata Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam dan taman lembap 20 ekar tanah terletak berdekatan, dan pencinta alam boleh berlabuh untuk perhati burung yang jarang ditemui atau hanya berjalan di sawah padi untuk melihat bagaimana ia ditanam.
“Kita sudah mempunyai pengunjung yang datang ke Kampung Terus sempena Festival Padi Antarabangsa tahunan kita,” katanya.

Sungai Terus dibatasi oleh sawah padi dan 4 kampung, iaitu Kg Guar Jering, Kg Terus, Kg Labuh Banting, dan Kg Kubu dan dihuni kira-kira 5,000 orang.
Kampung ini pernah menjadi tempat tinggal kepada orang Kedah yang melarikan diri dari penganiayaan orang Siam pada 1800-an. Penduduk kampung mencari perlindungan di kawasan selatan Sungai Perai, yang dikawal pihak berkuasa penjajah British.
Sungai Perai berfungsi sebagai sempadan asal antara Wilayah Wellesley (kini Seberang Prai) dan Kedah yang dipengaruhi Siam hingga ke utara pada 1831.
Terdapat 1,105 ekar sawah padi di kawasan itu, yang menghasilkan 7 tan metrik beras sehektar sebulan, keluaran padi tertinggi ke-2 di negara ini.
Kawasan ini juga merupakan perkampungan nelayan yang menternak udang.