Editor Tempo cadang prinsip utama untuk majlis media Malaysia

Editor Tempo cadang prinsip utama untuk majlis media Malaysia

Wahyu Dhyatmika berkata kerajaan tidak boleh campuri hal ehwal media dan media mesti selamat daripada sanksi jenayah.

Satu majlis media hanya berkesan jika pengamal sedia patuhi peraturan yang ditetapkan badan itu dan menghormati kuasanya, kata Wahyu Dhyatmika.
SHAH ALAM:
Ketua editor majalah Indonesia, Tempo menyeru kepada 2 prinsip dalam penubuhan majlis media Malaysia, mengatakan penting untuk memastikan kerajaan tidak mencampuri hal ehwal media dan keselamatan media daripada sanksi jenayah kecuali dengan kebenaran majlis.

Di Indonesia, kerajaan tidak mencampuri pengendalian aduan terhadap media dan laporan polis tidak boleh dibuat terhadap pertubuhan media sebelum majlis media Indonesia membuat keputusan ke atas perkara berbangkit.

“Sekiranya majlis memutuskan tiada niat jahat dalam liputan media atau laporan akhbar berkenaan, pengadu tidak boleh pergi kepada polis,” kata Wahyu Dhyatmika kepada FMT.

“Juga tiada campurtangan luaran dalam menangani dan menyelesaikan aduan atau perkara berkaitan kebebasan media.

“Adakala media didapati bersalah atas laporan tertentu menurut tataetika. Kami kemudian harus menarik balik laporan itu atau memohon maaf, tetapi hanya selepas pertimbangan dan keputusan majlis media,” katanya ketika ditemui di Persidangan Serantau Hidup Bersama Dalam Budaya Damai.

Suatu majlis media Malaysia sedang diusahakan dan satu draf rang undang-undang sedang dirumuskan oleh sebuah jawatankuasa sementara.

Penasihat jawatankuasa itu, A Kadir Jasin berkata, majlis media Indonesia contoh yang baik untuk diikuti.

Wahyu berkata prinsip yang ditegakkan majlis media Indonesia melindungi kebebasan media, berbeza dengan zaman dulu apabila laporan polis boleh dibuat terhadap wartawan kerana libel atau fitnah, dengan kemungkinan penjara.

Beliau berkata majlis media Malaysia patut cuba menggunapakai 2 prinsip itu sekiranya bersetuju dengan falsafah disebaliknya, iaitu “melindungi kebebasan media”.

Pada 2018, Tempo menjadi sasaran tunjuk perasaan oleh kumpulan Islamis yang menganggap kartun yang disiarkan menghina pemimpinnya.

Para editor Tempo membuat keputusan untuk berdialog dengan penunjuk perasaan bagi menunjukkan tiada niat jahat, tetapi kumpulan itu menjadi agresif dan mengganggu ketua editornya.

Wahyu berkata kejadian itu tidak patut berlaku dan bertentangan dengan undang-undang kerana saluran yang betul adalah membuat laporan menerusi majlis media, yang akan memanggil kedua-dua pihak sebelum ia membuat keputusan.

“Mereka tak boleh buat aduan kepada pejabat media atau menunjuk perasaan di depan pejabat media,” katanya.

“Pengajarannya kita tak patut bercakap dengan kumpulan seperti itu. Kita patut hanya minta mereka pergi ke majlis media. Kita tiada kewajipan untuk menyambut dan duduk bersama penunjuk perasaan.”

Beliau berkata majlis media hanya boleh jadi berkesan sekiranya pengamal sedia mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan majlis itu dan menghormati kuasanya.

Beliau juga berkata tiada penentangan terhadap majlis media Indonesia apabila ia ditubuhkan kerana agensi-agensi media sedia maklum betapa susahnya bila tiada kebebasan media.

“Kami semua faham risiko bila tiada badan seperti itu. Jika kita biarkan nasib kita ditentukan kerajaan atau Parlimen atau institusi lain di luar bidang media, ada risiko kami akan hilang kebebasan itu.

“Jadi, demi kebebasan, kami perlu tunjukkan kepada orang ramai bahawa kami boleh uruskan aduan dengan baik. Kami perlu tunjukkan kepada orang ramai bahawa kami boleh patuhi peraturan yang kami tetapkan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.