Krisis N Sembilan: PAS sindir DAP tak konsisten soal prinsip

Krisis N Sembilan: PAS sindir DAP tak konsisten soal prinsip

Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari berkata DAP sepatutnya konsisten mempertahankan prinsip mandat pengundi.

Ahmad Fadhli Shaari Loke Siew Fook
Ahmad Fadhli Shaari berkata kenyataan Loke Siew Fook mengenai krisis di Negeri Sembilan bercanggah prinsip.
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menyindir DAP berhubung sokongan wakil rakyat di tengah krisis politik di Negeri Sembilan.

Katanya, sebelum ini DAP menyokong tindakan speaker Dewan Rakyat tidak mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu selepas mengisytiharkan sokongan kepada Anwar Ibrahim walaupun ia didakwa jelas bertentangan mandat pengundi pada PRU15.

Fadhli berkata, perkara itu bercanggah kenyataan Setiausaha Agung, Loke Siew Fook, yang menyifatkan tindakan Umno Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun sebagai melanggar mandat rakyat.

“Loke semalam semasa sidang media panjang lebar huraikan tentang mandat pengundi. Katanya, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di Negeri Sembilan mendapat undi dalam PRN 2023 atas mandat pengundi yang mana mereka berkempen bersama.

“Jadi, apabila Umno Negeri Sembilan tarik sokongan dari menteri besar PKR, ia melanggar mandat rakyat,” katanya di Facebook.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, DAP sepatutnya konsisten dalam mempertahankan prinsip mandat pengundi dan tidak hanya membangkitkan isu tersebut apabila melibatkan lawan politik.

Semalam, Loke dalam sidang media Pakatan Harapan di kediaman rasmi menteri besar Negeri Sembilan berkata pihaknya dan Amanah menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Aminuddin susulan krisis didakwa melibatkan institusi perlembagaan negeri yang kini menjadi perhatian umum.

Loke berkata, kedudukan Aminuddin kekal sebagai menteri besar sehingga dibuktikan sebaliknya di DUN, sambil menyatakan kerajaan perpaduan di negeri itu bukan dibentuk selepas pilihan raya, sebaliknya hasil persefahaman sebelum PRN Ogos 2023.

Katanya, DAP dan rakan gabungan berkempen dalam PRN lalu atas platform kerajaan perpaduan melibatkan PH dan BN.

“Ini adalah mandat yang diberikan oleh rakyat kepada PH dan BN untuk membentuk kerajaan negeri,” katanya.

Sidang media itu susulan semua 14 Adun Umno/BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin serta menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinannya.

Sementara itu, Fadhli berkata keputusan Umno Negeri Sembilan dibuat secara en bloc, bukan tindakan lompat parti secara individu seperti berlaku melibatkan enam Ahli Parlimen Bersatu.

“Dan tiada apa-apa halangan seperti Akta Anti Lompat Parti yang mengekang keputusan Umno Negeri Sembilan berbanding akta yang sama-sama dipersetujui oleh semua Ahli Parlimen sebelum PRU15 tetapi kemudiannya dilanggar oleh enam Ahli Parlimen Bersatu,” katanya.

Fadhli turut mendakwa, satu demi satu prinsip dilanggar oleh PH akan memberi implikasi politik kepada gabungan itu pada masa depan, termasuk isu peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.