Habib Learning fokus pembangunan modal insan bersama UniRazak

Habib Learning fokus pembangunan modal insan bersama UniRazak

Kerjasama dalam bidang pembelajaran, latihan dan pembangunan modal insan mampu sediakan platform kepada Kumpulan Habib teroka potensi program praktikal dalam keusahawanan.

Anuprakash Regunathen (dari kiri), Meer Habib, Amil Izham Hamzah dan Mohamed Fairuz Mohamed Noor yakin kerjasama Habib dan UniRazak yang dijalinkan akan bawa manfaat kepada semua.

Kumpulan Habib terus mengembangkan sayapnya dalam pembangunan modal insan dengan menjalinkan kerjasama dengan rakan strategik daripada universiti tempatan.

Secara tidak langsung perkongsian strategik ini membuka jalan untuk menjalin hubungan antara kedua-dua pihak dalam bidang pembelajaran, melatih dan pembangunan modal insan.

Kerjasama ini juga mencatatkan sejarahnya tersendiri bagi kumpulan Habib terutamanya membabitkan pembangunan modal insan.

Bagi tujuan itu, Kumpulan Habib menerusi anak syarikatnya Habib Learning Sdn Bhd memeterai perjanjian persefahaman (MoU) kerjasama dengan Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak).

Perjanjian kerjasama itu ditandatangani Ketua Habib Learning, Anuprakash Regunathen; dan Ketua Pegawai Operasi UniRazak, Mohamed Fairuz Mohamed Noor dengan disaksikan Meer Habib dan Ketua Pegawai Eksekutif UniRazak, Amil Izham Hamzah.

Kerjasama dalam bidang pembelajaran, latihan dan pembangunan modal insan itu menyediakan platform kepada Kumpulan Habib untuk meneroka potensi menawarkan program praktikal bagi bidang kepakarannya termasuk kepimpinan dalam keusahawanan.

Antara latihan yang disediakan, kepimpinan, operasi, komunikasi dan jualan.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Meer Sadik Habib, berkata menerusi kerjasama itu, Habib Learning dapat berkongsi pengetahuan praktikal dalam industri manakala UniRazak pula menyediakan bantuan penyelidikan dan tampil dengan praktis yang terbaik.

“Kerajaan selalu menekankan supaya industri perniagaan saling bekerjasama dengan Universiti tempatan. Jadi kami percaya dengan kerjasama ini akan dapat membantu kedua-dua pihak menghasilkan satu program yang lebih praktikal,” katanya dalam satu sidang media baru-baru ini.

Malah katanya, Habib Learning ini adalah hasil cetusan idea pengarah eksekutif, Zarida Noordin yang mahukan sebuah pusat latihan bagi melatih dan membangunkan prestasi pekerja kumpulan Habib.

Dan Habib Learning membuktikan komitmen pihak pengurusan dalam membangun modal insan setiap individu.

Salah satu inisiatif yang dilakukan ialah “Graduate Excellence Management School Program” bagi membolehkan graduan bersiap sedia berdepan dengan realiti pasaran sebenar.

Sehubungan itu, program ini dirancang dengan teliti bagi melengkapkan mereka dengan pengetahuan perniagaan secara keseluruhan.

Sementara itu menurut Anuprakash, Habib Learning bukan sahaja fokus kepada penyediaan berdepan dengan perniagaan malah terdapat pelbagai lagi program menarik mengikut keperluan semasa dengan tawaran harga yang berbaloi.

Dan setiap latihan yang diberikan akan diberikan sijil yang diperakui.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.