Mavcom kurangkan unjuran trafik penumpang akibat koronavirus

Mavcom kurangkan unjuran trafik penumpang akibat koronavirus

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia menurunkan unjuran peningkatan trafik penumpang daripada 5% hingga 6% untuk kepada 4.6% hingga 5.7% untuk tahun ini.

Mavcom berkata, pendapatan syarikat penerbangan dan lapangan terbang di Malaysia akan berkurangan susulan unjuran terbarunya akibat penularan wabak koronavirus.
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menurunkan unjuran pertumbuhan trafik penumpang di lapangan terbang negara ini susulan penularan wabak koronavirus.

Ketua Pegawai Operasinya, Azmir Zain berkata trafik penumpang pada mulanya diunjurkan meningkat 5% hingga 6% untuk tahun ini, tetapi ia diturunkan kepada 4.6% hingga 5.7%.

Tahun lalu, lapangan terbang di Malaysia menerima 109.2 juta penumpang.

Azmir berkata, ini akan menyebabkan pendapatan syarikat penerbangan dan lapangan terbang di Malaysia berkurangan.

Katanya, ini disebabkan gangguan penerbangan antara Malaysia dan China, serta ia bukan saja menjejaskan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tetapi juga Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

“Kami akan menjangkakan syarikat penerbangan dan lapangan terbang mengambil langkah untuk mengurangkan kesan kemerosotan pendapatan itu,” katanya selepas menyampaikan syor pengawal selia ekonomi penerbangan negara kepada kerajaan bagi industri penerbangan tempatan.

Beliau berkata, syarikat penerbangan perlu memikirkan cara penugasan semula pesawat yang biasanya digunakan untuk penerbangan ke China.

Syarikat penerbangan menggantung penerbangan ke China susulan penularan wabak koronovirus, sebagai contoh AirAsia menggantung penerbangan ke China sehingga 29 Feb ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.