CAAM ambil alih fungsi kawal selia Mavcom mulai 1 Ogos

CAAM ambil alih fungsi kawal selia Mavcom mulai 1 Ogos

Tanggungjawab ini antara lainnya merangkumi pelesenan, peruntukan ATR serta pembangunan lapangan terbang.

Kemampanan dan pertumbuhan berterusan industri penerbangan Malaysia kekal menjadi fokus utama sepanjang proses ini, kata Pengerusi Eksekutif Mavcom Saripuddin Kasim. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan mengambil alih fungsi kawal selia Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berkuat kuasa 1 Ogos.

Langkah ini susulan pengumuman dibuat Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook pada 23 Jun lepas bahawa CAAM dan Mavcom akan dirasionalisasikan.

Mavcom berkata, tanggungjawab ini merangkumi pelesenan, peruntukan Hak Trafik Udara (ATR), pembangunan lapangan terbang, Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS), hal ehwal ekonomi dan persaingan serta pengawasan pengawalseliaan secara menyeluruh.

CAAM turut akan mengurus dan menyelia platform digital seperti AeroFile dan AeroLicence bagi pemprosesan permit overflight/pendaratan serta urusan pelesenan, katanya dalam kenyataan.

Peralihan itu selaras dengan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 (Akta 856), kata Mavcom.

Pengerusi Eksekutif Mavcom Saripuddin Kasim berkata, kemampanan dan pertumbuhan berterusan industri penerbangan Malaysia kekal menjadi fokus utama sepanjang proses ini.

“Keutamaan kami adalah untuk memastikan peralihan ini berjalan dengan lancar dan tanpa sebarang gangguan kepada para pihak berkepentingan serta orang awam,” katanya.

Mavcom berkata, semua platform pengguna akan terus beroperasi sepenuhnya sepanjang tempoh peralihan.

Selepas 1 Ogos, pengguna boleh terus mengemukakan aduan mengenai syarikat penerbangan dan lapangan terbang melalui laman web serta aplikasi mudah alih FlySmart sedia ada.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman web www.caam.gov.my atau menerusi saluran rasmi CAAM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.