Rasionalisasi dengan Mavcom, Sharil Tarmizi ketuai CAAM

Rasionalisasi dengan Mavcom, Sharil Tarmizi ketuai CAAM

Bermula hari ini, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) diserap dalam Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM).

Shahril Tarmizi
Sharil Tarmizi merupakan timbalan pengerusi CAAM sejak 2023 dan sebelum ini pernah menjadi pengerusi merangkap ketua pegawai eksekutif SKMM pada 2011. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sharil Tarmizi dilantik pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM), susulan rasionalisai antara badan itu dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), berkuat kuasa hari ini.

Dalam kenyataan, Kementerian Pengangkutan berkata pelantikan Shahril berkuat kuasa serta merta.

Beliau merupakan timbalan pengerusi CAAM sejak 2023 dan sebelum itu pernah berkhidmat sebagai pengerusi merangkap ketua pegawai eksekutif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 2011.

Kementerian berkata Sharil, yang menjadi ahli lembaga CAAM sejak 2021, membawa pengalaman lebih tiga dekad dalam bidang perundangan dan korporat, merangkumi sektor awam dan swasta.

Melalui penggabungan dengan Mavcom, CAAM kini menjadi pengawal selia tunggal bagi hal teknikal, keselamatan, dan ekonomi dalam sektor penerbangan.

“Langkah strategik ini membuka lembaran baharu kepada sektor penerbangan Malaysia ke arah sistem kawal selia yang lebih efisien, responsif, dan berpaksikan tadbir urus yang lebih baik,” katanya.

Kementerian berkata, semua kakitangan Mavcom telah ditawarkan penempatan di CAAM dengan setakat 31 Julai sebanyak
93% kakitangannya telah menerima tawaran tersebut.

“Selaras dengan keputusan Jemaah Menteri, semua warga kerja CAAM akan menerima penambahbaikan pakej emolumen sejajar dengan struktur gaji baharu yang setara dengan industri.”

Lembaga pengawal selia itu juga akan diperluas dengan penyertaan seorang wakil Kementerian Ekonomi serta dua pakar dalam dasar ekonomi, persaingan, dan hak pengguna.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.