
“Perlu ada pindaan perlembagaan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu dilibatkan dan perlu diadakan persempadanan semula. Perkara ini sangat susah untuk diputuskan,” katanya sewaktu ditemui pemberita pada satu acara di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Ariff, perlembagaan persekutuan sendiri menyebut secara jelas berkaitan perkara ini. Baginya, saiz populasi penduduk di Sabah dan Sarawak juga perlu diberi perhatian.
“Untuk dapat 1/3 daripada 222 kerusi Parlimen. Populasi saiz juga perlu dilihat,” katanya ringkas.
Kini terdapat 31 ahli Parlimen dari Sarawak dan 25 dari Sabah dalam Dewan Rakyat yang mempunyai 222 ahli.
Ketika Malaysia ditubuhkan pada 1963, Malaya menguasai 2/3 kerusi Parlimen dengan baki 1/3 diwakili oleh Sabah, Sarawak dan Singapura (Malaya 104, Singapura 15, Sabah 16 dan Sarawak 24).
Bagaimanapun apabila Singapura keluar Malaysia pada 1965, 15 kerusi Parlimen yang diwakilinya tidak diberikan kepada Sabah dan Sarawak.
Terdahulu, seorang peguam berkata, cadangan memperuntukkan 1/3 kerusi di Dewan Rakyat kepada Sabah dan Sarawak tidak realistik kerana kedua-dua negeri tersebut, walaupun besar dari segi saiz, mempunyai jumlah penduduk tidak ramai.
Bastian Pius Vendargon berkata, ini akan menyebabkan berlakunya gangguan terhadap sistem perwakilan berkadar antara negeri Borneo dengan semenanjung.