Saya bawa bos ke rumah Rosmah untuk hantar wang, kata saksi

Saya bawa bos ke rumah Rosmah untuk hantar wang, kata saksi

Shamsul Rizal Sharbini berkata, majikannya yang juga ahli perniagaan Saidi Abang Samsudin mengarahkan beliau memasukkan sejumlah wang RM100 ke 2 beg sebelum dihantar ke rumah Rosmah Mansor.

Rosmah Mansor berdepan dakwaan rasuah berhubung projek solar untuk sekolah di Sarawak.
KUALA LUMPUR:
Seorang saksi memberitahu perbicaraan rasuah Rosmah Mansor, beliau memasukkan sejumlah wang RM100 ke dalam 2 beg galas dan membawa majikannya ke rumah isteri bekas perdana menteri itu untuk menghantar wang berkenaan.

Shamsul Rizal Sharbini yang merupakan pemandu kepada ahli perniagaan Saidi Abang Samsudin, berkata majikannya mengarahkan beliau membeli 2 beg galas dan menemuinya di Maybank cawangan Medan Tuanku sekitar 2017.

“Saya tidak kira wang itu. Saya masukkan ke 2 beg dan meletak beg itu dalam kereta yang saya pandu hari itu.”

Katanya, beliau membawa Saidi ke Pusat Beli-belah Sunway Putra untuk menemui rakan kongsi Saidi, Rayyan Radzwill Abdullah dan kemudiannya mereka menyusuli kereta Rayyan ke rumah Rosmah.

“Setiba kami di rumah itu, pintu depannya dibuka dan saya pandu kereta ke dalamnya untuk menurunkan Saidi, manakala Rayyan meletakkan keretanya di luar.

“Saya nampak Rizal sudah menunggu di pintu,” katanya merujuk Rizal Mansor yang merupakan pembantu Rosmah ketika itu.

Saksi itu berkata, beliau mengenali Rizal sebagai pembantu Rosmah dan Najib Razak kerana lelaki berkenaan selalu muncul di televisyen dan dikritik hebat pembangkang ketika itu di media sosial.

Rizal hadir di mahkamah hari ini untuk dikenal pasti.

“Saya dengar Saidi tanya Rizal ‘di mana Madam’ dan Rizal beritahunya ‘Madam di tingkat atas’,” kata Shamsul sambil menambah beliau memutuskan untuk meletakkan 2 beg galas itu di sebuah sofa hijau.

Beliau berkata, dalam kejadian berasingan, Saidi mengarahkan beliau menghantarnya dan seorang kawan dikenali sebagai Razak ke sebuah kedai menjual beg.

“Saya turunkan mereka di luar sebuah kedai di Kompleks Pertama. Mereka keluar dari kereta dan membeli 2 beg pakaian hitam.

“Selepas itu, saya bawa mereka ke Maybank Medan Tuanku.”

Katanya, beliau menurunkan Saidi dan Razak di luar bank berkenaan dan mencari tempat untuk meletakkan kereta.

Beliau berkata, kedua-duanya berjalan ke kereta selepas 15 minit dengan setiap seorang membawa sebuah beg pakaian.

“Tiba-tiba, seorang lelaki memakai jaket berwarna gelap datang ke tempat duduk belakang kereta dan duduk di sebelah Razak. Saya tidak kenal dia, tetapi dia kelihatan seperti pegawai polis kerana bersenjata.

“Saidi berbisik kepada saya ‘kalau apa-apa jadi, dia takut dia mati’ tanpa memberitahu siapa lelaki itu.”

Shamsul berkata, beliau kemudiannya membawa 3 lelaki berkenaan ke Pusat Beli-belah Pavillion dan sepanjang perjalanan selama 30 minit, beliau ketakutan kerana lelaki tidak dikenali itu mempunyai pistol.

“Apabila kami tiba di Pusat Beli-belah Pavillion, Saidi meminta saya mengeluarkan 2 beg pakaian dan meletakkannya di pintu utama bangunan itu.

“Beg itu berat dan saya membawa beg itu satu persatu. Saya tidak tahu isi kandungannya,” katanya sambil menambah beliau ternampak Rizal berada di kawasan lobi bangunan itu.

Shamsul berkata, beliau nampak beg pakaian itu dimasukkan ke sebuah Vellfire hitam ketika beliau kembali ke lobi untuk mengambil Saidi.

“Dalam perjalanan pulang, Saidi bergurau beliau tidak tahu siapa lelaki yang masuk ke keretanya dan apa akan berlaku jika lelaki itu membunuh kita semua.”

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam mengenai tujuan beliau, Saidi dan Rayyan ke rumah Rosmah pada 2 Nov 2018 dengan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Shamsul berkata, ia untuk mengenal pasti tempat beliau meletakkan kereta majikannya dan 2 beg galas itu.

Peguam Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah mempersoalkan kredibiliti Shamsul sebagai saksi yang memberitahu mahkamah beliau tidak ingat tarikh 2 kunjungan ke Maybank.

Shamsul mahu menjawab soalan itu, tetapi peguam berkenaan berkata: “Oleh itu kamu tidak boleh mengesahkan jika 2 kejadian itu benar-benar berlaku.”

Mustafa meminta peguam itu memberi peluang kepada Shamsul menjawab soalan terlebih dahulu.

“Saya tidak ingat tarikh itu, tetapi saya boleh mengesahkan kedua-dua kejadian itu berlaku,” kata Shamsul.

Perbicaraan diteruskan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan pada 10 Feb ini.

Rosmah berdepan 3 pertuduhan rasuah atas dakwaan meminta suapan RM187.5 juta daripada Saidi yang merupakan pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, untuk membantu syarikat itu mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Beliau turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.