
Beliau tiba di kompleks mahkamah pada 9.55 pagi dengan ditemani peguam dan ahli keluarganya.
Rosmah dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Ampang kerana sakit belakang dan tengkuk yang serius.
Isnin lalu, peguamnya Jagjit Singh dan Akberdin Abdul Kader memberitahu Hakim Mohamed Zaini Mazlan, anak guamnya tidak dapat hadir ke mahkamah kerana sakit tengkuk dan artritis.
Susulan itu, peguamnya memohon mahkamah menangguhkan perbicaraan untuk sepanjang minggu ini.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya ad hoc Gopal Sri Ram menolak permohonan itu dengan berkata, pihak pendakwaan enggan menerima sijil cuti sakit hospital terbabit.
Zaini membenarkan penangguhan itu dan untuk perbicaraan dimulakan hari ini.
Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin untuk membantu syarikat itu mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Beliau turut didakwa dengan 2 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bekas pembantunya, Rizal Mansor yang sepatutnya dibicarakan bersamanya, tetapi pihak pendakwaan menarik pertuduhan ke atasnya bulan lalu.