
Jerry Boris, 35, mengaku bersalah di hadapan majistret Lovely Natasha Charles kerana mencederakan isterinya berusia 34 tahun di sebuah rumah di Kampung Minintod, Penampang, pada 30 Jan lalu.
Sebelum dijatuhi hukuman, Jerry yang ditahan polis pada hari berikutnya, merayu kepada mahkamah supaya hukuman diringankan sambil berkata: “Saya minta maaf kepada pihak yang terlibat, maksud saya, isteri saya.”
Dia tidak diwakili peguam.
Rakaman video berdurasi 5 minit yang tersebar di media sosial, minggu lalu, Jerry dilihat mengheret isterinya keluar dari rumah mereka dan menarik rambutnya.
Seorang wanita lain, yang dipercayai ibu mangsa, cuba menghalang tindakan Jerry dengan memukul Jerry menggunakan botol plastik tetapi tidak diendahkan lelaki terbabit.
Tidak lama kemudian, tertuduh dilihat menendang wanita itu di muka, menyebabkan dia terjatuh ke tanah. Apabila wanita tua itu cuba menghalangnya lagi, Jerry kelihatan mengugut untuk menendangnya juga.
Pasangan itu, yang mempunyai 4 anak, tinggal berasingan sejak Okt 2019 kerana wanita itu tidak tahan dengan sikap dan tingkah laku Jerry, mahkamah diberitahu.
Pegawai pendakwa raya, Albert Basiri memberitahu mahkamah bahawa Jerry tidak puas hati dengan isteri yang dikahwini sejak 9 tahun lalu kerana menghadiri majlis ulang tahun saudaranya tanpa kebenarannya, menyebabkan berlaku pertengkaran.
Katanya, lelaki itu juga cuba memaksa isterinya untuk kembali dan tinggal bersamanya tetapi wanita itu enggan.
Wanita itu mendapat rawatan di Hospital Queen Elizabeth 2 kerana kecederaan pada leher, tangan dan kakinya. Dia juga mempunyai lebam di seluruh badan.
Albert juga berkata wanita itu kemudiannya membuat laporan polis terhadap suaminya dan dia dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan perintah perlindungan sementara.
Jerry didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dibaca bersama dengan Seksyen 326A yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya.