Kerani bank suspek terbaru ditahan sebar berita palsu koronavirus

Kerani bank suspek terbaru ditahan sebar berita palsu koronavirus

Wanita yang bertugas sebagai kerani bank ditahan di Kuantan berhubung kandungan berita palsu yang dimuat naik di Facebook pada 27 Jan lalu.

SKMM menahan 6 suspek yang dipercayai menyebarkan kandungan palsu 2019-nCov di Facebook dan Twitter. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dengan kerjasama polis hari ini bertindak menahan seorang lagi individu disyaki menyebarkan berita palsu mengenai wabak koronavirus novel 2019(2019-nCov).

SKMM berkata, wanita berusia 28 tahun yang bertugas sebagai kerani bank ditahan di Kuantan pada jam 4 petang tadi berhubung kandungan berita palsu yang dimuat naik di Facebook pada 27 Jan lalu.

“Turut dirampas adalah telefon bimbit dan kad sim milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut di laman Facebook,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Suspek disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya, dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

SKMM berkata, sejak 28 Jan, suruhanjaya itu dengan kerjasama polis sudah menahan 6 suspek yang dipercayai menyebarkan kandungan palsu 2019-nCov.

“Tindakan ini akan berterusan untuk memastikan penularan berita palsu dapat dikawal dan seterusnya menjamin keamanan dan kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, SKMM menahan seorang tutor, 2 pembantu farmasi dan seorang pelajar universiti yang disyaki memuat naik kandungan palsu 2019-nCov di laman Facebook dan Twitter.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.