Beberapa negara rancang keluarkan rakyat dari Wuhan

Beberapa negara rancang keluarkan rakyat dari Wuhan

Sekurang-kurangnya 7 negara merancang untuk memindahkan atau membawa pulang rakyat masing-masing dari Wuhan.

(Gambar AP)

YANGON/PARIS/TOKYO/LONDON/MADRID: Negara serata dunia merancang untuk memindahkan kakitangan diplomatik dan warganya dari kawasan-kawasan China yang dilanda koronavirus baru, yang merebak cepat.

Wuhan, bandar dengan penduduk 11 juta orang di wilayah Hubei dan pusat wabak ditutup dan kebanyakan Hubei, yang mempunyai hampir 60 juta orang, dikenakan sekatan perjalanan.

Berikut rancangan pemindahan beberapa negara, dan bagaimana mereka merancang untuk menguruskan risiko kesihatan mereka yang pulang.

  • Jerman akan memindahkan 90 warganya yang menetap di wilayah Wuhan.
  • Maghribi akan memindahkan 100 warganya, kebanyakannya pelajar, dari kawasan Wuhan.
  • Perancis merancang untuk membawa pulang beberapa ratus daripada 800 warganya yang menetap di kawasan Wuhan. Mereka yang dibawa pulang akan dikuarantin selama 14 hari bagi mengelakkan virus itu merebak di Perancis.
  • Jepun dijangka mengatur penerbangan seawal hari ini bagi warganya yang mahu pulang dari Wuhan, menurut 2 sumber yang tahu tentang perkara itu. Menteri Luar, Toshimitsu Motegi berkata kira-kira 430 rakyat Jepun disahkan berada di wilayah Hubei.
  • Sepanyol sedang bekerjasama dengan China dan Kesatuan Eropah bagi membawa pulang warga Sepanyol dari kawasan Wuhan, kata Menteri Luar, Arancha Gonzalez Laya.
  • Jabatan Negara Amerika Syarikat akan memindahkan kakitannya dari konsulat di Wuhan dan menyediakan tempat yang terhad kepada warga AS dalam satu penerbangan. Beberapa warganya boleh menaiki satu penerbangan meninggalkan Wuhan pada 28 Jan ke San Francisco, katanya.
  • Britain sedang berunding dengan rakan-rakan antarabangsa bagi mencari penyelesaian untuk membantu warga British dan warga negara lain meninggalkan Wuhan, kata jurucakap Perdana Menteri Boris Johnson.
  • Kanada ada seramai 167 warga di kawasan Wuhan, kata Menteri Luar, Francois-Philippe Champagne semalam, dan 8 memohon bantuan konsulat, yang sedang diberikan. Walaupun menteri tidak menolak kemungkinan pemindahan, beliau tidak menyatakan adakah ia sedang dirancang ketika ini, dan menambah setiap permohonan sedang dipertimbangkan mengikut kes.
  • Rusia sedang berunding dengan China mengenai pemindahan warganya dari Wuhan dan wilayah Hubei, kata kedutaan Rusia di China.
  • Belanda sedang menilai cara untuk memindahkan 20 warganya dari Wuhan, kata agensi berita ANP.
  • Myanmar membatalkan rancangan memindahkan 60 pelajar dari Mandalay yang sedang belajar di Wuhan. Kyaw Yin Myint, jurucakap pihak berkuasa tempatan Mandalay memberitahu Reuters satu keputusan muktamad dibuat di mana mereka akan dihantar pulang selepas 14 hari, apabila tempoh inkubasi virus sudah berlalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.