
HONG KONG: Pasukan polis Hong Kong mengarahkan pemindahan segera kira-kira 6,000 orang pada Jumaat selepas sebutir bom zaman perang ditemui di sebuah tapak pembinaan di Daerah Timur, Pulau Hong Kong, lapor Xinhua.
Operasi pelupusan bom itu bermula 2 pagi Sabtu (waktu tempatan) dan dijangka selesai dalam tempoh sehari, menurut polis.
Bom itu dikenal pasti bahan letupan udara dari Perang Dunia Kedua (WWII) yang berukuran kira-kira 1.5m panjang dan seberat kira-kira 1,000 paun, menurut sumber.
Pekerja di tapak pembinaan menemui bom itu dan melaporkannya kepada polis pada pagi Jumaat. Selepas penilaian, polis mengesahkan bom berkenaan masih berpotensi aktif dan memerlukan pelupusan berisiko tinggi di lokasi, sekali gus mencetuskan pemindahan kecemasan.