Lagi bom Perang Dunia II ditemui di Jerman, 20,000 dipindahkan

Lagi bom Perang Dunia II ditemui di Jerman, 20,000 dipindahkan

Bahan letupan jenis Unexploded Ordnance akan dinyahaktifkan pada Selasa, menyebabkan hampir 20,000 penduduk perlu tinggalkan kawasan itu selewat-lewatnya 3 petang.

Anggota Jabatan Ketenteraman Awam mengepung sekitar pesisir Rhine selepas tiga bom Perang Dunia II yang tidak meletup ditemui di Deutzer Werft, Cologne, Jerman pada 4 Mei lalu. (Gambar EPA Images)
HANOVER:
Bandar Osnabruck di barat laut Jerman sekali lagi berdepan pemindahan besar-besaran akibat penemuan bom dipercayai peninggalan Perang Dunia II, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Bandar itu menerusi notis singkat pada Isnin malam mengumumkan bahan letupan jenis Unexploded Ordnance (UXO) itu akan dinyahaktifkan pada Selasa, menyebabkan hampir 20,000 penduduk perlu meninggalkan kawasan pemindahan selewat-lewatnya 3 petang (1300 GMT).

Stesen kereta api utama, Hospital St Mary dan Hospital Kanak-kanak Kristian terletak di kawasan itu.

Menurut laporan, bom UXO itu ditemui semasa pemantauan kerja pembinaan di daerah Lokviertel bandar itu. Sebuah pusat pemindahan dijangka dibuka pada sebelah petang di sebuah sekolah tempatan.

Ini bukan kali pertama operasi pelupusan bom dijalankan di daerah Lokviertel. Dua minggu lalu, sebutir bom seberat 500kg dari Perang Dunia II dinyahaktifkan di kawasan itu.

Ketika itu, seramai 11,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka dan perkhidmatan kereta api menghadapi gangguan.

Pada November, Februari dan April lalu, bom UXO dipercayai peninggalan Perang Dunia II yang belum meletup turut dinyahaktifkan di Lokviertel.

Sebuah daerah baharu akan dibangunkan di tapak bekas stesen kargo bandar itu dan kerja pembinaan sering menemui bom lama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.