
Peguam Shaharudin Ali yang mewakili Hasanah memberitahu Pesuruhjaya Kehakiman Ahmad Shahrir Mohd Salleh bahawa pihaknya menghantar representasi bertulis itu pada 14 Jan lepas.
“Saya mohon tarikh bicara kes dalam bulan Ogos 2020,” katanya semasa pengurusan kes.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad mengesahkan pihak pendakwaan menerima representasi tersebut pada 15 Jan lepas.
Shaharudin berkata pihaknya ingin memfailkan permohonan untuk mendapatkan dokumen lama, antaranya daripada Arkib Negara, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Wisma Putra, polis (Cawangan Khas) dan kerajaan British.
“Ia berkaitan dengan penubuhan, fungsi, peranan dan kuasa ‘Research Department’ melibatkan anak guam saya,” katanya.
Mahkamah menetapkan 20 Feb untuk pengurusan kes itu.
Sementara itu, di luar mahkamah ketika ditanya pemberita tentang representasi tersebut, kedua-dua pihak enggan mendedahkan apa-apa maklumat tentangnya.
Pada 25 Okt 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam, iaitu ketua pengarah penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 30 Apr 2018 dan 9 Mei 2018 di Pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.