Tikam wanita 10 kali dalam lif, jiran ditahan

Tikam wanita 10 kali dalam lif, jiran ditahan

Mangsa kerugian kira-kira RM500 selepas telefon bimbit dan wang tunai RM100 dalam dompetnya disamun suspek, selain kehilangan dokumen pengenalan diri.

Bertindak atas maklumat polis menahan seorang suspek berusia 26 tahun yang juga merupakan jiran mangsa dan mendapati dia positif dadah serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
GEORGE TOWN:
Seorang wanita cedera parah akibat ditikam 10 kali ketika disamun seorang jirannya, dalam kejadian dalam sebuah lif di Flat Taman Sri Damai, Jelutong, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata, kejadian kira-kira 11.16 malam itu berlaku ketika mangsa berusia 20 tahun berseorangan di dalam lif untuk pulang ke rumahnya, sebelum lif tersebut dimasuki seorang lelaki bertopeng.

“Sebaik pintu lif ditutup, lelaki itu terus menyerang wanita itu dan menikam di bahagian belakang mangsa bertubi-tubi menggunakan sebilah pisau, sebelum menyamun dompet serta telefon bimbit mangsa dan melarikan diri.

Wanita yang cedera parah itu kemudiannya mendapatkan bantuan ahli keluarga sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang(HPP) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, mangsa yang tidak bekerja itu kerugian kira-kira RM500 selepas telefon bimbit jenis Huawei 2i dan wang tunai sebanyak RM100 dalam dompetnya disamun suspek, selain kehilangan dokumen pengenalan diri.

Soffian berkata, bertindak atas maklumat pihaknya menahan seorang suspek berusia 26 tahun yang juga merupakan jiran mangsa dan selepas diperiksa, lelaki yang tidak bekerja itu di positif dadah serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Lelaki itu kini direman sehingga 15 Jan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, iaitu samun mendatangkan kecederaan parah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Soffian berkata wanita itu masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang namun dilaporkan dalam keadaan stabil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.