
Menurut laporan Daily Star, cabaran terbesar yang dihadapi sektor pekerjaan luar negara adalah kos pengambilan pekerja yang tinggi, di mana pekerja dikenakan caj sehingga Tk 400,000 (RM19,448.24) untuk pekerjaan di Malaysia, kata Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan luar Negara, Imran Ahmad.
“Jika saya benarkan caj tinggi untuk pengambilan, saya akan mengkhianati pengundi,” katanya pada sidang media di acara anjuran Reporters for Bangladeshi Migrants semalam.
Pada Sept 2018, Putrajaya menggantung Sistem Permohonan Pekerja Asing (SPPA) bagi pekerja Bangladesh, yang hanya membenarkan proses pengambilan dijalankan oleh 10 agensi terpilih yang diluluskan kerajaan dulu.
Menerusi sistem itu, pekerja Bangladesh perlu membayar “yuran pemprosesan” kepada ejen bagi memudahkan kelulusan permit kerja dan urusan lain di Malaysia.
Meskipun beberapa rundingan diadakan antara pegawai kerajaan kedua-dua negara sepanjang tahun lepas, pasaran itu masih belum dibuka.
“Jika sistem telus, penglibatan broker akan tiada,” kata Imran tanpa huraian lanjut.
Beliau berkata kerajaan Bangladesh meminta agensi-agensi pengambilan pekerja mengenalpasti broker-broker berkenaan, supaya mereka boleh didaftarkan dan dipertanggungjawabkan sekiranya mereka menyalahi undang-undang.
“Sasaran utama saya adalah memastikan pekerja boleh keluar negara dengan membelanjakan satu jumlah yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.
Menurut kajian Bank Dunia pada 2015, pekerja Bangladesh membayar jumlah tertinggi untuk pengambilan pekerja, tetapi antara yang mendapat gaji paling rendah.
Penyelidik mendapati pekerja-pekerja Bangladesh masih berhutang, dan dalam banyak kes, mereka dihantar keluar negara dengan visa pekerjaan palsu, tidak berdokumen, atau pulang ke tanahair dengan tangan kosong.