
Pengarah penguatkuasa KPDNHEP, Iskandar Halim Sulaiman berkata, pemantauan serta penguatkuasaan itu akan dijalankan menerusi Program Pematuhan Penandaan Harga di premis kawasan tumpuan pelancong 2020 (Ops Indah).
“Kita mulakan Ops Indah di Pulau Pinang kerana negeri ini menerima kunjungan pelancong seramai 1.9 juta orang setiap tahun.
“Ini adalah salah satu langkah kementerian untuk melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga yang tidak beretika di pusat pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu di Bukit Bendera, di sini, hari ini.
Beliau berkata, antara tujuan Ops Indah adalah untuk memastikan peniaga mempamerkan tanda harga pada makanan di samping meletakkan label kandungan makanan.
Turut hadir dalam program tersebut ialah pengurus besar Perbadanan Bukit Bendera (PHC), Cheok Lay Leng.
Iskandar berkata, Ops Indah akan dijalankan dari semasa ke semasa di seluruh negara sehingga berakhirnya tahun 2020.
“Pegawai penguatkuasa akan berada di lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani, pasar raya, termasuklah pusat jualan cenderahati untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan,” katanya.
Iskandar turut menasihatkan pengguna supaya menyalurkan aduan di saluran yang betul supaya pegawai penguatkuasa dapat melakukan siasatan seterusnya mengambil tindakan jika terdapat sebarang penyelewengan tanda harga di premis berkaitan.
“Peniaga perlu meletakkan tanda harga atau senarai harga bagi barangan yang dijual dan mereka yang engkar boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Mereka yang sabit kesalaan boleh didenda sehingga RM50,000 atau dikompaun sebanyak RM25,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya bagi individu, dan denda RM100,000 bagi syarikat atau dikompaun sebanyak RM50,000,” katanya.