Syerleena tak tanding pemilihan DAP

Syerleena tak tanding pemilihan DAP

Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata beliau mahu terus fokus pada kawasannya.

syerleena
Syerleena Abdul Rashid berkata, walaupun tidak bercadang bertanding pada pemilihan DAP bulan depan, komitmennya terhadap parti kekal teguh. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid tidak akan bertanding merebut kerusi Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) pada pemilihan parti bulan depan.

Syerleena berkata, ramai pihak bertanya sama ada beliau akan bertanding pada pemilihan itu, dan spekulasi mengenai pencalonannya turut banyak dilaporkan.

“Selepas membuat pertimbangan yang teliti, saya memutuskan untuk menolak (pencalonan),” katanya dalam catatan di Facebook.

“Jiwa dan tumpuan saya terus bersama penduduk Parlimen Bukit Bendera, dan saya mahu terus mendedikasikan tenaga untuk kerja yang telah kita mulakan bersama.”

Dalam pada itu, kata Syerleena, komitmennya terhadap DAP kekal teguh dan beliau yakin sepenuhnya terhadap kepimpinan parti.

“Saya akan terus bekerja di samping ahli parti lain, menyumbang dalam cara yang terbaik untuk parti dan rakyat.”

Dilaporkan sebelum ini Syerleena antara 15 wanita dijangka bertanding, bersama Ahli Parlimen Tanjung Lim Hui Ying, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Selain itu, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Lanang Alice Lau, yang juga timbalan speaker Dewan Rakyat; Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin; Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi; Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong; serta Adun Damansara Utama Jamaliah Jamaluddin dijangka akan turut bertanding.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.