
Beliau berkata, langkah mengekalkan harga minimum itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kemampuan rakyat untuk terus mendapatkan rawatan asas tanpa tekanan kewangan, khususnya mereka yang tidak mempunyai insurans dan perlu membayar sendiri kos rawatan.
“Dalam apa pun polisi, ia pasti ada kesan (yang) sifatnya ‘double-edged’. Rakyat akan memandang kepada kos mereka sebab biasanya kalau yang tidak ada insurans mereka perlu tanggung (kos) sendiri, jadi ini memberi beban kepada mereka.
“Sebab itu kita (kerajaan) sangat peka bahawa harga lantai ini kita tidak naikkan dan itu adalah satu kelegaan besar kepada rakyat,” katanya kepada media selepas majlis sambutan Hari Hospis dan Rawatan Paliatif Sedunia 2025 di Putrajaya hari ini, lapor Bernama.
Dzulkefly berkata, walaupun kadar minimum dikekalkan, kerajaan menaikkan harga siling kepada RM80 untuk memberi fleksibiliti kepada pengamal GP menetapkan caj berdasarkan tahap perkhidmatan yang ditawarkan.
“Rawatan selama 10 minit untuk batuk dan selesema biasa tidak boleh disamakan dengan sesi selama 40 minit yang melibatkan ujian diabetes, kolesterol, hipertensi atau penilaian kesihatan mental.
“Dengan langkah ini, kita mahu GP lebih bertanggungjawab dan benar-benar memahami serta memantau status kesihatan pesakit secara menyeluruh,” katanya.
Dzulkefly berkata, pengamal GP merupakan tulang belakang penting sistem penjagaan kesihatan primer negara (PHC) dan dengan galakan itu, mereka akan terdorong memberi perhatian lebih mendalam terhadap keadaan pesakit, termasuk dalam pengurusan penyakit tidak berjangkit (NCD).
Katanya, rakyat tidak akan berasa terbeban membayar RM10 untuk rawatan ringkas, malah mereka akan menghargai rawatan yang lebih menyeluruh apabila doktor meluangkan masa lebih lama dan memahami keadaan mereka dengan lebih mendalam.
Beliau berkata, jika doktor mengenakan caj berlebihan, itu akan menjadi kali pertama dan terakhir pesakit datang, tetapi jika rawatan diberikan secara menyeluruh dan berkualiti pesakit akan terus kembali.
Justeru, Dzulkefly menyifatkan langkah menaikkan harga siling itu sebagai strategi galakan halus bagi mendorong GP memberikan rawatan lebih bertanggungjawab, sambil memastikan rakyat memperoleh nilai yang sepadan dengan wang yang dibelanjakan.
Ketika membentangkan Belanjawan 2026 semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan menyemak semula kadar fi perundingan pengamal GP kepada antara RM10 hingga RM80 berbanding RM10 hingga RM35 sebelum ini.
Namun, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan kerajaan yang mengekalkan kadar minimum caj konsultasi GP pada RM10 seperti termaktub dalam Jadual Fi MMA 1992, walaupun semakan dilakukan hanya selepas 17 tahun.