Cuepacs tuntut kerajaan runding sebelum keluar pekeliling baru

Cuepacs tuntut kerajaan runding sebelum keluar pekeliling baru

Kerajaan tidak seharusnya memberi tekanan kepada penjawat awam dengan pelbagai isu.

Presiden Cuepacs Adnan Mat.
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berterima kasih dengan kerajaan kerana menangguhkan pelaksanaan pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) yang sebelum ini diumumkan berkuatkuasa Jan depan melibatkan pelantikan baru penjawat awam.

Presidennya, Adnan Mat pada masa sama menuntut agar rundingan dibuat terlebih dahulu antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Cuepacs sebelum pekeliling baru dikeluarkan seperti yang diamalkan sebelum ini.

“Cuepacs merakamkan ucapan ribuan terima kasih atas usaha Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan keprihatinan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dalam penangguhan ini.

“(Namun), melalui meja perundingan sudah tentulah ia boleh memberi kesan menang menang dan dapat mengurangkan tekanan kepada pihak pekerja,” katanya kepada FMT.

Adnan berkata kerajaan tidak seharusnya sepanjang masa memberi tekanan kepada penjawat awam dengan pelbagai isu.

Beliau berkata, sebaliknya ia hendaklah menjadi kerajaan yang sentiasa prihatin kepada penjawat awam dan rakyat.

Semalam, kerajaan bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan pemansuhan BIPK yang sepatutnya bermula Jan ini untuk penjawat awam baru.

Syed Saddiq memaklumkan perkara itu selepas mengadakan perbincangan dengan Mahathir.

Sebelum ini, Syed Saddiq serta beberapa pihak lain mengkritik keputusan pemansuhan elaun kritikal itu

Menurutnya, sebagai mewakili suara anak muda, beliau akan terus memperjuangkan nasib golongan itu di negara ini.

Khamis lepas, JPA menjelaskan kerajaan menanggung hampir RM1 bilion tahun ini bagi menampung BIPK kepada penjawat awam dalam 33 skim perkhidmatan.

Menurut JPA, keputusan pemansuhan itu diputuskan di peringkat Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) tahun 2019 kemudian dimaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.