Polis dapat perintah mahkamah terhadap sidang Jawi Dong Zong

Polis dapat perintah mahkamah terhadap sidang Jawi Dong Zong

Polis dapat perintah mahkamah untuk Dong Zong tidak teruskan sidang isu Jawi esok.

PETALING JAYA:
Polis mengumumkan ia memohon dan mendapat perintah mahkamah untuk kumpulan pendidikan Cina, Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) tidak meneruskan persidangan membantah pengenalan Jawi di sekolah vernakular esok.

Polis menyerahkan perintah itu kepada Dong Zong pada petang tadi.

“Polis menyeru semua pihak agar menghormati undang-undang dan perintah mahkamah ini. Polis akan ambil tindakan tegas sekiranya ada pihak yang enggan mematuhinya,” kata Ketua Polis Kajang, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dalam kenyataan hari ini.

Dong Zong dilaporkan akan menganjurkan suatu persidangan pada 28 Dis bagi membantah pengenalan pembelajaran Jawi kerana didakwa bertentangan dengan keputusan Kabinet dan Dokumen Standard Kurikulum Dan Pentaksiran (DSKP).

Ahli Jawatankuasa Pusat, Low Chee Chong dilapor berkata persidangan esok akan membincangkan pembelajaran Jawi di sekolah vernakular dan tujuannya untuk meyakinkan kerajaan agar membatalkan pengajarannya.

Ia juga hanya dibuka kepada wakil-wakil NGO Cina.

Setiausaha Agung Ng Chai Heng di satu forum semalam berkata komuniti itu khuatir pengenalan Jawi mempunyai unsur Islamisasi.

Dzaffir berkata polis memohon perintah mahkamah itu bagi mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam, selepas menerima banyak laporan polis dari seluruh negara berhubung persidangan itu.

“Atas dasar untuk mengelakkan berlakunya gangguan ketenteraman awam yang mana boleh mencetuskan kegusaran orang ramai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.