Polis tak pernah tutup kes kehilangan Amri, Pastor Koh

Polis tak pernah tutup kes kehilangan Amri, Pastor Koh

Menteri dalam negeri berkata siasatan kes profil tinggi itu berjalan berterusan selaras perintah mahkamah.

saifuddin nasution ismail
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu jumlah dan implikasi pembayaran kepada keluarga Amri Che Mat serta keluarga Raymond Koh sedang ditangani ikut saluran sewajarnya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis tidak pernah menghentikan siasatan kes kehilangan aktivis Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, siasatan terhadap kedua-dua kes berprofil tinggi itu berjalan secara berterusan, selaras dengan keputusan mahkamah yang meminta polis meneruskan tindakan siasatan.

“Siasatan polis tak pernah terhenti … polis memang tidak pernah menutup kes ini,” katanya pada sidang media selepas majlis penutup Simposium Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis hari ini.

Mengulas keputusan mahkamah yang mengarahkan pihak polis membawa Koh ke khalayak serta implikasi kegagalan berbuat demikian, Saifuddin berkata, kerajaan mengambil maklum keputusan tersebut, termasuk perintah pembayaran RM10,000 sehari sekiranya arahan itu tidak dipatuhi.

Beliau berkata, isu jumlah dan implikasi pembayaran kepada keluarga Amri serta keluarga Koh juga telah dimaklumkan dan sedang ditangani mengikut saluran sewajarnya.

“Itu kita sedia maklum. Pihak AGC (Jabatan Peguam Negara) telah mengemukakan rayuan kerana ia melibatkan implikasi kewangan yang besar. Sementara kita menghormati keputusan mahkamah, kita biarkan proses rayuan berjalan,” katanya.

Amri dilaporkan hilang pada 24 Nov 2016, manakala Koh pada 13 Feb 2017.

Pada 5 Nov lepas, mahkamah memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM3,264,457.52 berserta kos dan faedah kepada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin.

Mahkamah turut memerintahkan kerajaan membayar lebih RM37 juta kepada isteri Koh, Susanna Liew.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan saman yang difailkan oleh kedua-dua wanita itu terhadap kerajaan dan polis berhubung kehilangan suami masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.