
Jabatan itu menjelaskan borang permohonan dan senarai semak pendaftaran lewat kad pengenalan telah diserahkan kepada individu terbabit untuk dilengkapkan, sebagai sebahagian daripada proses pelaksanaan perintah mahkamah.
Namun demikian, JPN belum menerima borang permohonan daftar lewat kad pengenalan yang lengkap untuk tindakan lanjut.
“Jabatan ini menghormati sepenuhnya keputusan dan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 8 Dis 2025 dan komited untuk melaksanakan perintah tersebut dalam tempoh 30 hari dari tarikh permohonan dibuat,” menurut kenyataan.
Dalam pada itu, JPN menerangkan tindakan pembetulan dan pengesahan dokumen perlu dilaksanakan terlebih dahulu, memandangkan kes ini turut melibatkan isu penipuan dokumen semasa permohonan sijil kelahiran dibuat oleh ibu individu terbabit pada 2008.
Jelasnya, keputusan mahkamah berkaitan penentuan status kewarganegaraan individu tersebut, namun pelaksanaannya oleh JPN perlu dibuat mengikut kerangka perundangan sedia ada.
“Jabatan ini tidak boleh terus mencetak dan mengeluarkan MyKad tanpa melengkapkan proses pembetulan rekod dan pendaftaran yang diperlukan,” katanya.
Sementara itu, JPN menjelaskan keperluan saksi bagi dokumen permohonan daftar lewat kad pengenalan bukan terhad kepada wakil rakyat sahaja.
Katanya, saksi yang disenarai oleh JPN boleh terdiri daripada wakil rakyat, majikan, ketua kaum, penghulu, pegawai kerajaan kumpulan
pengurusan dan profesional.
Awal hari ini, peguam kepada remaja tersebut menggesa JPN mematuhi perintah mahkamah dan berhenti ‘menghalang’ proses permohonan dengan membebankan dia dan ibunya dengan lebih banyak dokumen.
Mereka turut mempersoalkan keperluan mendapatkan tandatangan ‘wakil rakyat’ memandangkan mahkamah telah pun memutuskan kes kewarganegaraan tersebut.