Menteri, timbalan sangkal dakwaan ‘elaun parking’

Menteri, timbalan sangkal dakwaan ‘elaun parking’

Bagaimanapun, emolumen dan elaun menteri dan anggota pentadbiran kerajaan tertakluk kepada OSA.

KUALA LUMPUR:
Sejak kebelakangan ini jumlah emolumen dan elaun yang diterima menteri Kabinet dan anggota pentadbiran kerajaan hangat diperkatakan di media sosial.

Ada pihak mendakwa menteri memperoleh elaun tertentu termasuk elaun tempat letak kenderaan yang dikatakan bernilai lebih RM5,000 sehingga mengundang kritikan daripada warga internet yang menyifatkan jumlah itu melampau.

Bagaimanapun jumlah emolumen dan elaun yang diperoleh seorang menteri atau anggota pentadbiran kerajaan bukan untuk didedahkan umum kerana tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi.

Beberapa menteri dan timbalan menteri yang dihubungi Bernama menerusi WhatsApp rata-rata mengesahkan elaun tempat letak kenderaan tidak wujud.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata: “Kenyataan yang tular baru-baru ini mengenai menteri diberikan peruntukan RM5,000 untuk bayaran parkir adalah tidak benar. Menteri boleh membuat tuntutan bayaran parkir dengan resit bawah tuntutan pelbagai, tiada bezanya dengan kebanyakan pegawai-pegawai awam lain.

“Perlu diingatkan, apabila menteri-menteri dari Pakatan Harapan mengambil alih tugas daripada menteri terdahulu, kita melaksanakan tugas dengan potongan gaji 10% berbanding gaji menteri bawah pentadbiran sebelum ini. Ia mula dikuatkuasa pada Jun 2018 sehingga sekarang.”

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pula berkata: “Saya memang tidak pernah dengar tentang elaun parkir…untuk menteri…apapun ada banyak elaun yang kita tidak tuntut seperti…telefon/tol/elektrik…Kita pun berjimat dalam membeli tiket penerbangan melalui on-line…”

Beberapa anggota pentadbiran yang dihubungi Bernama turut menegaskan dakwaan berkenaan mengarut.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata: “Ya, memang elaun sedemikian tidak ada. Disahkan.”

Turut menyokong, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh yang memaklumkan: “Disahkan tiada. Mengarut betul!”

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata: “Saya tak pernah dengar pun…sejak saya jadi timbalan menteri selama setahun setengah ni saya tak pernah dengar pula elaun ‘parking’.“

Seorang pegawai di Pejabat Perdana Menteri ketika diajukan soalan mengenai elaun yang diterima Perdana Menteri khususnya mengenai elaun parkir itu, berkata: “Tiada peruntukan elaun ‘parking’. Gambar yang viral tu palsu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.