Kerajaan akui gaji, elaun polis rendah

Kerajaan akui gaji, elaun polis rendah

Kerajaan melakukan penstrukturan gaji dan elaun membabitkan semua anggota perkhidmatan awam serta kajian turut membabitkan emolumen polis.

Ketika ini elaun sara hidup anggota polis diberi mengikut lokasi penempatan mereka iaitu pada kadar RM200 hingga RM350 sebulan.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengakui gaji dan elaun sara hidup anggota polis masih di tahap rendah dan tidak memadai khususnya bagi yang menetap di bandar besar.

Timbalan Menteri Shamsul Anuar Nasarah berkata susulan itu kerajaan melakukan penstrukturan gaji dan elaun membabitkan semua anggota perkhidmatan awam serta kajian turut membabitkan emolumen anggota polis.

“Kerajaan dan KDN sedang dalam pelaksanaan kajian sistem saraan perkhidmatan awam, ini termasuk anggota polis.

“Ia turut meliputi kajian berkaitan elaun sara hidup membabitkan semua anggota bawah KDN (termasuk anggota polis),” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai tindakan KDN dalam usaha menaikkan kadar elaun sara hidup anggota polis yang disifatkan masih rendah.

Shamsul berkata, buat masa ini elaun sara hidup anggota polis diberi mengikut lokasi penempatan mereka iaitu pada kadar RM200 hingga RM350 sebulan.

Katanya, kerajaan sedar kadar itu rendah dibandingkan kos sara hidup semakin tinggi terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

“Maka kementerian telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam bagi menilai aspek ini,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsul berkata KDN akan sentiasa mengkaji dan anggota polis akan menerima pergerakan gaji tahunan apabila genap setiap tahun perkhidmatan.

Beliau berkata, emolumen merangkumi gaji pokok, imbuhan tetap dan elaun lain diberikan berdasarkan penugasan, kepakaran dan risiko tugas yang jumlah keseluruhannya melebihi paras gaji minimum sebanyak RM1,500 ditetapkan kerajaan.

Katanya, emolumen diterima pegawai rendah polis berpangkat konstabel YA1, gaji pokok mereka adalah RM1,441, tidak termasuk elaun.

“Mereka turut menerima imbuhan tetap perumahan iaitu RM300, imbuhan tetap perkhidmatan awam (RM115), imbuhan sara hidup (RM350), bayaran insentif perkhidmatan (RM200), dan gaji kasar adalah RM2,404.

“Kenaikan gaji tahunan gred YA1 ialah RM105. Jumlah gaji kasar tak termasuk elaun mengikut bidang penugasan dan penempatan anggota berkenan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.