Pertukaran penjawat awam ikut undang-undang, kata menteri

Pertukaran penjawat awam ikut undang-undang, kata menteri

Armizan Mohd Ali menempelak dakwaan wujud campur tangan terhadap pertukaran penjawat awam dalam pentadbiran kerajaan perpaduan.

Armizan Mohd Ali berkata, pertukaran penjawat awam adalah normal dan turut berlaku dalam pentadbiran kerajaan terdahulu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Proses pertukaran dan pusingan kerja penjawat awam dilaksanakan berpandukan undang-undang berkaitan perkhidmatan awam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Armizan Mohd Ali.

Menempelak dakwaan wujud campur tangan terhadap pertukaran penjawat awam dalam pentadbiran kerajaan perpaduan, katanya, proses pertukaran penjawat awam sejajar Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 serta Akta Fungsi-fungsi Menteri 1969.

Beliau juga memaklumkan pertukaran penjawat awam adalah normal dan turut berlaku dalam pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Untuk pertukaran dan pusingan kerja pangkat Jusa C dan ke atas, semasa pentadbiran Perdana Menteri (PM) ketujuh (Dr Mahathir Mohamad), berlaku 128 pertukaran, PM kelapan (Muhyiddin Yassin) 104, PM kesembilan (Ismail Sabri Yaakob) 92 dan kerajaan PM sekarang (Anwar Ibrahim) setakat 28 Feb adalah 62.

“Jadi, tidak betul persepsi itu (pertukaran penjawat awam) hanya bersandarkan pentadbiran kali ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Armizan berkata, kerajaan dari semasa ke semasa sentiasa mengkaji serta menyemak saraan bagi penjawat awam dan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang dilaksanakan sejak 2002 serta melalui beberapa penambahbaikan.

Perdana menteri juga, katanya, menyatakan komitmen dan kesediaan untuk mengkaji semula kadar gaji serta upah penjawat awam apabila kedudukan kewangan negara bertambah baik dan selain defisit kewangan negara dapat dikurangkan.

“Sebarang pemberian kenaikan gaji atau penambahbaikan struktur gaji dan upah sedia ada perlu diperhalusi dan dikaji secara menyeluruh bagi menjaga keharmonian dalam perkhidmatan awam.”

Menurutnya, kewajaran menaikkan gaji dan upah dalam perkhidmatan awam perlu mengambil kira keseluruhan jumlah emolumen yang diterima penjawat awam serta kedudukan semasa ekonomi negara.

Beliau memaklumkan emolumen penjawat awam pada kadar RM90.7 bilion daripada keseluruhan Belanjawan 2023, iaitu 23.5% tanpa melibatkan emolumen badan berkanun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.