Kenali Santa Dayak dengan sampan buayanya

Kenali Santa Dayak dengan sampan buayanya

Bercawat merah, menaiki bot yang ditarik buaya gergasi, dan menayangkan tatu tradisional Dayak.

Santa Dayak menaiki bot yang ditarik buaya gergasi membawa hadiah untuk kanak-kanak di sepanjang Sungai Rajang.
GEORGE TOWN:
Malam ini merupakan malam yang dinanti-nantikan kanak-kanak serata dunia.

Ia malam Krismas dan Santa Claus akan meluncur di langit bersama hadiah untuk kanak-kanak yang baik sepanjang tahun.

Hampir semua orang tahu Santa dan kereta luncurnya terbang dari Kutub Utara ke seluruh dunia, meletakkan hadiah bawah pohon Krismas dan dalam stokin yang tergantung pada katil.

Hampir semua orang juga tahu rupa Santa yang gempal dan berjanggut putih dalam pakain serba merah. Tawanya memecahkan kesunyian malam, “Ho, ho, ho!”.

Tetapi anak jati Kuching, Joseph Romey Dures membayangkan Santa dalam rupa yang berbeza. Dia membayangkan pembawa kegembiraan yang lebih “tropika” dan berketurunan Dayak.

Dia membayangkan Santa Dayak, bertatu dan membawa sumpit, menaiki bot menelusuri Sungai Rajang, singgah di rumah-rumah panjang sepanjang sungai itu untuk memberikan hadiah kepada kanak-kanak.

Santa Dayak mengayakan tatu Borneo dan cawat Dayak, bersama pokok Krismas yang diperbuat daripada pokok pisang.

Santa tropika ini memakai cawat merah dan menayangkan tatu warisannya untuk dikagumi semua yang menatap.

Jika di Barat, kereta luncur Santa ditarik sepasukan rusa kutub, di Sarawak pula bot santa ditarik seekor buaya gergasi.

Pokok Krismas yang sering menghiasi acara pula digantikan dengan pokok buatan yang dihiasi daun-daun pokok pisang.

Imaginasi lelaki berusia 37 tahun itu diterjemahkan dengan indah sekali di atas kertas. Kebetulan, pengurus bank komersial di Kuala Lumpur ini juga seorang pelukis kartun.

Joseph seorang Bidayuh, dari suku Dayak, dan menggelarnya diri “Bidayuh Skateboarder”.

Joseph Romey Dures dan isteri, Su-Yin Evan-Cook melukis tema-tema Krismas dalam gaya tempatan, diperkayakan dengan budaya Sarawak.

Dia memberitahu FMT idea melukis tema-tema tempatan muncul apabila dia dan isteri, Su-Yin Evan-Cook, 32, membuat keputusan untuk memasukkan budaya unik Sarawak ke dalam setiap sisi kehidupan mereka, termasuk kesenian.

Dia mula melukis motif-motif suku Dayak pada papan luncur. Tidak lama kemudian, hasil seninya menarik minat kawan-kawan.

Mereka mencadangkan Joseph melukis “Santa Dayak”. Orang ramai menyukainya, jadi dia melukis lebih banyak lagi tema-tema Krismas Dayak.

“Pada masa itulah saya mula melukis Santa Dayak dengan sumpit. Kami rasa ia idea yang bernas,” katanya.

“Kami tak nampak banyak lukisan dalam gaya Borneo berbanding 3 budaya utama kita iaitu Melayu, Cina, dan India,” katanya.

“Kami mahu cipta suatu gaya unik yang tidak seperti seni-seni tradisi dari Sarawak.”

Joseph Romey Dures mencatumkan rekaan gaya lama dan baru pada simbol tradisi Krismas.

Joseph berkata Su-Yin, seorang pereka grafik dan sumber ilhamnya, kemudian menjadikan lukisannya menjadi kad perayaan.

“Saya hanya perlukan pen dan kertas lukisan. Atau saya akan lukis atas papan luncur atau kanvas, apa sahaja yang ada pada saya pada masa itu.

“Saya ingin lukis pada dinding tidak lama lagi jika masa mengizinkan.”

Lakaran Krismas dengan tema Dayak untuk pembaca FMT, oleh Joseph Romey Dures.

Santa dengan sumpit mungkin bukan suatu kebiasaan, tetapi ketika Santa Dayak menelusuri Sungai Rajang bersama buaya gergasinya, tatu yang berkilauan bawah cahaya bulan, teriakannya memecahkan keheningan hutan:

“Sramat Ondu Krismas nudu su’e dep ingan! Selamat Hari Natal untuk anda dan semua teman!”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.